‘Terlepas gelaran UCL bukan satu kegagalan’

MANCHESTER, 14 SEPT – PepGuardiola berkata hari ini bahawa dia menerima legasinya di Manchester City sama ada dia berjaya memberikan kejayaan Liga Juara-Juara untuk kelab selepas mereka tewas di peringkat akhir musim lalu.

Juara Liga Perdana Inggeris itu memulakan kempen menentang pasukan Bundesliga, RB Leipzig pada Rabu, kurang empat bulan selepas keperitan tewas 1-0 di tangan Chelsea.

Namun Guardiola berkata dia tidak akan merungut mengenai terlepas peluang di Porto, aksi pertama City di final Liga Juara-Juara, dan ia adalah satu kesilapan untuk menganggap kempen Eropah musim lalu sebagai satu kegagalan.

“Setiap musim adalah berbeza,” katanya semasa sidang media sebelum perlawanan. ”Kami mengharungi kejohanan yang luar biasa musim lalu namun sekarang kami akan memulakan saingan baharu.

“Ramai berkata Manchester City gagal, akan tetapi musim lalu merupakan pencapaian yang luar biasa, kami bermain dengan baik meskipun tewas menentang pesaing hebat,” tambahnya.

Pep Guardiola berkata dia tidak akan merungut mengenai terlepas peluang di Porto dan tidak menganggap kekalahan tersebut sebagai satu kegagalan.- AP

Pengurus City berusia 50 tahun itu belajar untuk hidup dengan persepsi bahawa dia perlu memenangi Liga Juara-Juara untuk membuktikan kejayaan kelab, meskipun dia telah membawa kelab memenangi Liga Perdana Inggeris dan beberapa trofi lain.

“Saya akan menerimanya,” kata Guardiola, yang menjulang trofi Liga Juara-Juara sebagai pengurus Barcelona pada 2009 dan 2011 akan tetapi gagal meraihnya semasa di Bayern Munich dan City.

“Setiap tahun adalah sama. Jika saya memenangi Liga Juara-Juara saya akan tumpang gembira untuk kelab. Jika saya gagal melakukannya, saya tidak mampu melaksanakannya.

“Anda boleh menilai kejayaan saya.”

Pemain tengah Sepanyol, Rodri berkata pasukan City tidak merasa kesal terlepas kejayaan di kejohanan Eropah musim lalu, menambah pemain-pemain berazam untuk melakukan lebih baik musim ini.

“Kami tidak kesal,” katanya. “Kami akan belajar dari pengalaman ini.

“Liga Juara-Juara ditentukan oleh perbezaan yang sedikit. Kami mesti terus berazam untuk menggapai trofi Liga Juara-Juara musim ini.”- AFP