Teroka kawasan berpotensi tarik pelancong

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 SEPT – Rombongan dari Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Wasai Teraja yang bertujuan untuk mempromosikan tempat-tempat penting di negara ini bagi ekopelancongan.

Diketuai oleh Ketua Travel and Tours Department, Hajah Nuratiqah binti Abdullah, lawatan mengetengahkan kawasan yang berpotensi dijadikan tempat pendakian dan penerokaan bukit dan air terjun.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh rombongan berkenaan semasa lawatan adalah singgah di Bukit Teraja, Wasai Belulok dan Wasai Teraja.

Di samping itu, kumpulan berkenaan juga berkunjung ke Rumah Panjang Teraja berdekatan di mana hadir mengalu-alukan rombongan ialah Setiausaha Rumah Panjang Teraja, Gaung Jamit.

Dengan lawatan itu, DHSB menggunakan peluang berkenaan membangunkan aktiviti-aktiviti baharu dan menarik bagi mereka yang inginkan gaya hidup sihat, pada masa yang sama mengeratkan silaturahim.

Rombongan lawatan sempat meninjau ke Wasai Teraja. – Gambar serahan Hj Yahya