Teroka pasaran tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR, 4 MAC – Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam usaha menguasai pasaran tenaga boleh diperbaharui Vietnam akan bekerjasama dengan Sunseap Group, Singapura melalui subsidiarinya, TNB Renewables Sdn Bhd dalam projek berkapasiti 21.6 MW yang merangkumi lima loji solar di negara itu.

TNB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia juga akan memperoleh 39 peratus kepentingan dalam projek itu daripada Sunseap Group.

Pengambilalihan tersebut menandakan pencapaian terpenting bagi TNB kerana ini bererti ia sedang memperluaskan jangkauan tenaga boleh diperbaharui antarabangsanya ke Asia Tenggara.

“Sebelum pengambilalihan ini, kehadiran global TNB dalam tenaga boleh diperbaharui hanya terdiri daripada jumlah portfolio sebanyak 2,732.3MW di Malaysia (termasuk 2,536.1MW hidro besar) serta 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang merangkumi solar, angin dan aset penjanaan tenaga hidro.

“TNB mahu mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui kepada 8,300MW menjelang 2025 (termasuk hidro besar),” katanya.

Projek itu telah memperoleh Tarif Suapan (FiT) di bawah skim FiT2 di Vietnam yang bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui melalui tarif berkadar lumayan dan di atas pasaran. – Bernama