Sunday, November 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teroka pelbagai aspek budaya Tionghua

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dalam usaha untuk meraikan kepelbagaian budaya dan pembelajaran bersama, Sekolah Chung Hwa Kiudang mengalu-alukan rombongan guru dan murid dari Sekolah Panaga bagi Program Pertukaran Budaya Tionghua yang berlangsung di Dewan Serba guna, Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini.

    Program pertukaran budaya itu memberikan peluang kepada murid-murid untuk meneroka pelbagai aspek menarik budaya tradisi Tionghua menerusi pelbagai aktiviti yang disertai oleh murid dari kedua-dua buah sekolah berkenaan.

    Dalam program sehari itu, para murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang menguji daya kreativiti mereka menerusi seni kaligrafi, gubahan kertas dan seni membuat kuih bulan.

    Seni gubahan kertas merupakan satu jenis seni yang berkurun lamanya di mana para peserta membuat gubahan rekaan menarik daripada kertas berwarna-warni.

    Mereka juga berpeluang untuk mempelajari seni kaligrafi Tionghua di mana mereka menulis huruf dalam tulisan kaligrafi dengan bimbingan daripada Guru Besar Sekolah Chung Hwa Kiudang, Loo Shee Yun.

    Di samping itu, para murid turut berpeluang mempelajari dan membuat kuih bulan sendiri di mana bukan sahaja mereka didedahkan kepada pembuatan kuih berkenaan tetapi juga belajar mengenai signifikan pesta kuih berkenaan dalam budaya masyarakat Tionghua.

    Sebagai lambang persahabatan dan penghargaan, di akhir acara berkenaan, para murid dari Sekolah Panaga telah diberikan set kaligrafi yang dihasratkan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua buah sekolah berkenaan.

    Ketua Jabatan Cina di Sekolah Panaga, Kailene juga menerima set kaligrafi istimewa yang disampaikan oleh Loo Shee Yun sebagai tanda penghargaan kepada dedikasinya untuk mempromosikan pendidikan dan kefahaman kebudayaan.

    Menerusi acara sehari itu, murid dan guru dari kedua-dua buah sekolah berpeluang memperoleh ilmu pengetahuan baharu dan menghargai lebih mendalam budaya masyarakat Tionghua serta juga menjana kenangan manis yang merentasi perbezaan dan meraikan perpaduan dalam perbezaan.

    Loo Shee Yun membimbing para murid dalam seni kaligrafi semasa program pertukaran budaya di Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang
    Para murid diberikan tunjuk ajar membuat kuih bulan semasa program pertukaran budaya itu. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda