Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Teroka penggunaan alat digital kewangan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Bagi meneroka bagaimana Brunei dapat meningkatkan penggunaan alat-alat digital kewangan dan meningkatkan kesedaran menangani pembiayaan mapan, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) dan APEC di Brunei Darussalam telah menghoskan A Conversation on Accelerating Fintech and Green Finance in Brunei.

    Forum yang berlangsung di Auditorium D&T, Anggerek Desa itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam serta Bank Baiduri.

    Hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Utusan Perdagangan Perdana Menteri United Kingdom (UK) ke Brunei Darussalam, Myanmar dan Thailand, Mark Garnier.

    Perbincangan tersebut telah menyatukan pemain utama dalam industri kewangan Brunei dan menjadi peluang untuk mendengar tentang kepimpinan UK dalam FinTech dan green finance daripada Mark Garnier.

    Acara telah dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi ABAC Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dynamik Technologies, Dayang Haslina Taib dan disusuli dengan ucapan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe.

    Sementara itu, dua ucaptama telah disampaikan oleh Dato Seri Paduka Haji Khairuddin dan Mark Garnier.

    Kemuncak acara menyaksikan perbincangan panel yang membincangkan mengenai FinTech dan green finance dengan melibatkan empat orang ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar; Mark Garnier; Dayang Haslina; dan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, forum itu adalah sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei, satu inisiatif oleh ABAC dan APEC di Brunei untuk menghubungkan isu global dengan ekonomi Brunei.

    Darussalam Enterprise, Radio Televisyen Brunei dan Brunei Press turut menjadi rakan kongsi program tersebut.

    Ahli-ahli panel ketika membincangkan mengenai FinTech dan green finance.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...