Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Terokai kehidupan masyarakat Jeju sebenar

    PULAU JEJU – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pulau Jeju telah menjadi destinasi popular di kalangan golongan muda yang pergi melawat muzium, mencuba sukan air baharu dan berpesta di rumah tetamu.

    Walau bagaimanapun, mengenali gaya hidup masyarakat Jeju boleh menjadi pengalaman yang akan membuatkan awda menghargai pulau gunung berapi berkenaan lebih daripada sekadar destinasi percutian.

    Sebagai cara untuk menikmati percutian di Jeju, platform pelancongan dalam talian Jeju Pass menghubungkan pengguna dengan penduduk Jeju yang mana mereka sendiri akan menceritakan tentang pulau itu.

    Jeju Pass telah dilancarkan pada 2016 oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yoon Hyung-jun yang berasal dari Jeju. Melihat alam semula jadi dan tradisi Jeju dirosakkan oleh pengembara yang tidak mengetahui budaya pulau itu, Yoon memulakan platform pelancongan sebagai satu cara untuk menjadikan pelancongan mampan.

    Platform ini menawarkan perkhidmatan sehenti, daripada kereta sewa hingga tempahan penginapan, dan cadangan kafe serta tempat untuk dikunjungi. Jika awda mendaftar untuk menjadi Jeju Pass Green Ambassador, dan menyelesaikan beberapa tugas mesra alam sepanjang perjalanan, awda boleh menderma mata yang diperoleh kepada komuniti Jeju dan mendapatkan pakej barangan mesra alam yang ditandakan dengan simbol Jeju.

    Pengurus eksekutif Murung Farm, Kim Soon-il semasa ditemui pemberita. – ANN/The Korea Herald
    Kelihatan pelawat memetik limau mandarin di Murung Farm. – ANN/The Korea Herald
    Hacheon House of Wind, yang pernah terbiar telah diubah suai menjadi penginapan yang tersedia untuk tempahan di Jeju Pass. – ANN/The Korea Herald
    Pasar Lima Hari Tradisional Sehwa merupakam destinasi yang dibuka setiap lima hari yang terletak Pantai Sehwa, Pulau Jeju. – ANN/The Korea Herald

    “Senarai tugas mungkin kelihatan rumit pada mulanya, tetapi kami telah menerima ulasan yang menakjubkan dan surat tulisan tangan daripada tetamu kami yang mengingati Jeju sebagai perjalanan yang paling diingati dan memuaskan,” kata Yoon.

    Murung Farm: Pasar makanan segar

    Terletak di Mureung-ri, Seogwipo, Murung Farm ialah pasar berasaskan perkhidmatan platform di mana tanaman organik yang ditanam di kampung kecil dihantar setiap bulan ke bandar di tanah besar.

    Perusahaan kampung bermula sebagai perkhidmatan langganan dalam talian pada 2009 dan pada 2014, berkembang ke pasaran luar talian.

    Diurus dan dikendalikan oleh sekumpulan kira-kira 54 petani kampung dan tujuh kakitangan yang datang dari luar Jeju, koperasi pertanian itu telah berkembang menjadi destinasi unik untuk pengunjung yang singgah.

    “Saya telah bekerja di Murung Farm selama lebih daripada lapan tahun sehingga sekarang, dan saya boleh katakan kerja berpasukan yang hebat itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan dan nasihat berterusan yang diberikan oleh petani yang bersemangat setiap hari,” jelas Kim Soon-il, pengurus eksekutif Murung Farm kepada The Korea Herald.

    Melangkah ke pasar yang meriah, pada asalnya ia merupakan sebuah bangunan sekolah yang terbiar, pada petang Jumaat, muzik dan gelak tawa memenuhi suasana dan kakitangan sibuk membuat persiapan untuk kelas memasak. Kim berkata sebahagian besar kerja masyarakat terdiri daripada mengadakan perhimpunan tetap dan program pengalaman.

    “Ia bukan sahaja soal memakan tanaman kami, tetapi juga menggalakkan pengguna membuat pilihan yang bijak, selepas menonton dan menikmati proses menuai tanaman, pengalaman yang jarang berlaku bagi mereka yang tinggal di bandar yang sibuk,” kata Kim.

    Murung Farm kini menghantar kira-kira 900 kotak hasil segar setiap bulan iaitu kira-kira 550 bungkusan sayur-sayuran dan 350 kotak buah-buahan. Menjelang akhir tahun, pelanggan akan mencuba lebih daripada 70 jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang berbeza.

    Hasil yang akan dihantar keluar dipilih melalui undian di kalangan petani selepas sesi merasa, acara petang yang biasa dilakukan di pasar itu adalah di mana hasil yang diinginkan oleh petani untuk dirasai pada bulan itu.

    Pasar Lima Hari Tradisional Sehwa

    Sementara Murung Farm membekalkan hasil segar untuk mereka di dalam dan di luar Jeju, Pasar Lima Hari Tradisional Sehwa merupakam destinasi yang dibuka setiap lima hari.

    Sehwa ialah salah satu daripada pasar di Jeju, termasuk kawasan Hamdeok, Hallim, Goseong, Seongsan dan Pyoseon, yang dikenali sebagai ‘oiljang’, yang bermaksud ‘pasaran yang dibuka setiap lima hari’.

    Terletak berhampiran Pantai Sehwa dan Darangswi Oreum, Pasar Sehwa dibuka setiap lima hari bermula pada hari kelima setiap bulan, kemudian pada 10, 15, dan seterusnya.

    Pasar dibuka pada pukul 3 pagi dan ditutup pada pukul 2 petang, jadi lawatan selepas matahari terbit adalah disyorkan kerana pasar berada pada tahap yang paling rancak.

    Pasar berkenaan hampir mempunyai segala-galanya seperti makanan laut dan barangan pertanian, barangan rumah, peralatan memasak, pakaian dan aksesori dan banyak lagi. – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...