Terokai kembali dunia selepas keadaan pandemik terkawal

BATU PAHAT – Bagi yang biasa mengembara, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada golongan ini kerana hobi mereka ini melibatkan aktiviti yang perlu dilakukan di luar rumah dan ada kalanya sehingga membawa merentas sempadan negara.

Namun berbeza dengan Muhammad Amir Arsad, yang melahirkan rasa tanda ‘kesyukuran’, kerana  semasa pandemik COVID-19 ini beliau berpeluang ‘meneroka kembali’ pengembaraan solonya di 33 buah negara yang pernah dilawatinya menerusi rakaman video yang dihasilkannya.

Istimewanya pengembaraan bekas peguam ini ke negara berkenaan hanya dengan berbasikal.

“Orang dari negara Kazakhstan paling baik,” itulah perkataan pertama yang terpacul keluar dari mulut pemuda berusia 30 tahun itu apabila di-minta menceritakan pengalaman ketika pengembaraan berkenaan.

Anak jati Batu Pahat ini memulakan pengembaraannya dari Indonesia, pada tahun 2016 sehinggalah ke beberapa negara Eropah seperti United Kingdom (UK), Perancis, Jerman dan negara bekas Kesatuan Soviet.

Pengembara Muhamad Amir Arsad menunjukkan basikal yang digunakan untuk dia mengembara ke-33 buah negara setakat ini.– Bernama
Antara kawasan berbahaya yang pernah dilalui Amir Arsad ketika pengembaraannya. – Agensi
Amir Arsad bergambar berlatar belakangkan Hagia Sophia di Istanbul, Turki. – Agensi

Muat naik video pengembaraan ke YouTube

Beliau, yang saban tahun mengembara terpaksa melupakan sementara hasrat aktiviti kegemarannya pada tahun ini akibat penularan wabak COVID-19.

Ikut perancangan awal, bermula pada Mac lepas, beliau mahu berbasikal ke negara Jepun dan Korea Selatan.

“Bagaimanapun saya terpaksa menangguhkannya dahulu tahun ini. Namun, saya dapat berkongsi pengalaman saya ketika mengembara di negara berkenaan menerusi media sosial termasuklah laman YouTube.

“Sampai hari ini, saya telah berkongsi sekitar 150 tayangan video dalam laman YouTube, dan tidak dinafikan kebanyakan video berkenaan dihasilkan dalam tempoh PKP,” katanya ketika ditemui media, di kediamannya di Parit Ya’ani di sini, baru-baru ini.

Muhammad Amir berkata, beliau akan berusaha untuk menghasilkan setiap video mengenai perkara-perkara yang menarik di semua 33 negara yang dilawatinya termasuklah lokasi yang jarang dilawati umum.

Pengalaman back packers dan berbasikal

Menurut anak muda yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam hanya untuk memenuhi impiannya mengembara secara solo ‘ala backpackers’.

Beliau membeli sebuah basikal terpakai dengan harga RM2,000 dan telah pun mengayuh melebihi 18,000 kilometer dengan kayuhan paling jauh pernah direkodkan sekitar 500 kilometer sehari di Turkmenistan.

“Antara pengalaman manis yang saya alami adalah ketika di Kazakhstan apabila rakyat di negara berkenaan melayan saya dengan baik serta memberikan tempat tinggal, makanan, malah hampir setiap individu di negara itu akan menghulurkan duit (wang saku) apabila mengetahui yang saya ini mengembara.

“Turut tidak dapat dilupakan apabila anjing penjaga kediaman tempat saya menginap di Kazakhstan menggigit saya secara tiba-tiba ketika saya mahu meneruskan perjalanan bukan sebab marah tetapi ‘seolah-olah’ tidak mahu melepaskan saya pergi dan mahu terus saya tinggal di situ,” katanya menambah memang menjadi kebiasaan bagi orang di Kazakhstan membela anjing bagi menjaga kediaman mereka.

Namun jelas Muhammad Amir lagi, mengembara secara berbasikal ini sebenarnya sesuatu yang agak menarik kerana ia dapat menguji kekuatan fizikal dan mental.

Perkemas kelengkapan pengembaraan

Muhammad Amir, yang juga anak sulung dari empat adik-beradik itu, turut mengambil peluang sepanjang PKP untuk memeriksa kelengkapan mengembara seperti basikal, kamera serta beberapa lagi peralatan yang lain sebagai persiapan untuk meneruskan hobinya itu apabila tempoh PKP tamat.

Dalam tempoh itu, beliau juga berkongsi pengalaman melalui media sosial serta menjawab setiap persoalan yang dikemukakan termasuk memberi nasihat tertentu kepada mereka yang ingin mengembara sepertinya.

“Saya turut gembira dan bersyukur apabila keluarga tidak menghalang, malah memberi galakan kepada saya untuk meneruskan minat, hobi dan cita-cita saya untuk mengembara seberapa banyak negara di dunia ini.

“Malah saya turut gembira apabila usaha saya ini tidak sia-sia apabila menerima pengiktirafan daripada pihak jawatankuasa kampung tempat saya tinggal, wakil rakyat dan kerajaan negeri melalui Anugerah Ikon Belia 2018,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut bersedia untuk menjadi ‘penunjuk ajar’ kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengembara secara berbasikal.

Jelajah satu Malaysia

Tambah Muhammad Amir, beliau antara individu yang mampu mengukir senyuman apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rakyat negara ini boleh melepasi sempadan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lepas.

Beliau mula memikirkan untuk berbasikal ke beberapa lokasi menarik di dalam negara, sama ada di kawasan Pantai Timur atau bahagian utara tanah air.

“Saya juga berhasrat untuk berbasikal di keseluruhan negeri Sarawak dan Sabah sementara sempadan keluar masuk negara masih belum dibuka.

“Di samping mengembara dan mengetahui budaya serta cara hidup penduduk luar, saya juga berhasrat untuk mengetahui keseluruhan kebudayaan yang ada di negara ini terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Sebenarnya saya juga mahu mengetahui beberapa lagi tempat menarik tetapi masih ‘tersembunyi’ daripada umum,” katanya.

Teruskan kembara di negara luar

“Sebaik sempadan antarabangsa dibuka kelak saya akan meneruskan perancangan saya untuk berbasikal ke negara Jepun dan Korea Selatan,” katanya yang turut menyimpan hasrat untuk berbasikal di benua Amerika dan Afrika.

Dalam masa yang sama, selain mengembara dan mengetahui cara hidup penduduk di luar negara, yang pastinya berbeza dengan kita semua, Muhammad Amir sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjadi pemandu pelancong bagi warganegara Malaysia yang ingin ke luar negara.

“Buat masa ini biarlah saya mengembara dahulu dengan mengetahui keadaan di negara luar sebelum saya ‘mengajak’ orang di negara ini melihat tempat menarik.

“Saya berharap hasrat saya ini akan menjadi kenyataan. Saya juga ingin mempunyai syarikat pelancongan saya sendiri. Yang uniknya nanti, saya akan memasukkan sekali pakej berbasikal di negara yang pelanggan saya lawati,” katanya. – Bernama