Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Dewan Perniagaan Tionghua, Bandar Seri Begawan (BSB) amat berminat untuk mengukuhkan hubungan perniagaan antarabangsa dan serantau dengan negara-negara sahabat.
Pada masa yang sama, Dewan Perniagaan Tionghua, BSB mengalu-alukan usahawan dan pengusaha dari Republik Turki untuk mengambil bahagian dalam Ekspo Perdagangan yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 September nanti di BRIDEX, Jerudong.
Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Dewan Perniagaan Tionghua, BSB, Lim Tiong Han @ Lim Peh Beng dalam kata alu-aluannya semasa menerima kunjungan muhibah daripada Duta Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun ke Dewan Perniagaan Tionghua, BSB, hari ini.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Lim Tiong Han menyatakan harapan untuk meneroka peluang-peluang perniagaan serta mengeratkan lagi bukan sahaja hubungan silaturahim tetapi pertukaran kebudayaan di antara kedua-dua buah negara.
Sementara itu, TYT Mehmet Suat Akgun mengalu-alukan ahli-ahli Dewan Perniagaan Tionghua, BSB untuk menjana hubungan perniagaan dengan syarikat dan pengusaha di Turki serta mempelawa mereka untuk mengadakan lawatan ke Turki.