Terokai keunikan salad ikan kap Vietnam

DUY AN – Wilayah Bac Giang bukan sahaja terkenal dengan litchi tetapi juga salad ikan kap, sejenis masakan yang sering disajikan kepada tetamu disebabkan ia mempunyai rasa yang amat unik.

Nguyen Trong Hai, yang bekerja di Hanoi, mempelawa kawannya ke kampung halamannya di perkampungan desa Ly Vien di daerah Bac Giang Hiep Hoa, tempat lahir salad ikan kap.

Hai berkata masakan itu tidak susah untuk disediakan tetapi ia memerlukan kemahiran untuk mengelak bau hanyir ikan berkenaan.

Apabila kawan-kawannya tiba, Hai keluar ke kolam keluarganya untuk menangkap beberapa ekor ikan kap, berkata ikan dengan berat 0.7 hingga 0.8 kilogram adalah yang paling ideal.

“Ikan kami adalah sesuai untuk masakan ini kerana kami menternak ikan tersebut dalam air tanpa sebarang bahan kimia,” katanya, menambah ikan itu harus dibersihkan dengan teliti.

Ramuan untuk salad ikan kap terdiri daripada beras panggang kisar, lengkuas kisar dan pelbagai daun herba. – ANN/Vietnam News

Salad Bac Giang dipilih sebagai salah satu masakan terbaik Kulinari Guinness pada 2012. – ANN/Vietnam News

Hai berkata dia telah mempelajari bagaimana memasak sajian itu daripada datuknya. Rahsianya adalah selepas membuang kulit ikan, ia dihiris nipis-nipis dan dikering dengan kertas pedap.

Ramuan untuk memerap ikan termasuk beras panggang kisar, lengkuas yang dicincang, air rebusan, sos ikan dan lada sulah.

Kepala ikan harus digunakan untuk dijadikan sos cecah. Ia adalah sos istimewa untuk dicecah salad ikan kap,jelas Hai. “Tanpa sos ini, salad tidak akan sedap rasanya.”

Kepala ikan dipotong dan dicampur dengan jus lengkuas, beras tapai, bawang putih kisar, lada dan garam dan ditumis di atas api kecil selama 15 minit dan dikacau. “Sos istimewa ini membantu meletak Bac Giang di peta sebagai pusat salad ikan kap,” kata Hai.

Dia berkata datuknya memberitahunya bahawa salad itu harus termasuk herba seperti ming aralia, daun ara, oak India, daun jambu batu dan beberapa rempah lain.

“Datuk saya berkata dia memilih hampir 15 jenis herba di kebunnya sendiri. Herba berkenaan adalah bagus untuk kesihatan awda,” ujar Hai.

Herba itu tidak boleh dicuci dengan air tetapi menggunakan kertas tisu basah ataupun tuala. Ia adalah petua atau rahsia yang diwarisi daripada datuknya untuk memastikan salad mempunyai rasanya yang unik, katanya.

Salad itu merupakan hidangan ideal untuk dinikmati dan dikongsi bersama dalam kumpulan, kata Hai.

Apabila Hai membawa dulang salad ke bilik makan, kawan-kawannya berasa amat gembira, berkata mereka terliur apabila menghidu bau harum masakan enak itu. Hai memberitahu tetamunya supaya membalut ramuan dalam kertas tepung dan mencecahnya dalam sos.

Salah seorang kawannya, Hoang Manh Thang berkata: “Saya boleh merasa keenakan ikan segar yang berlemak, rasa kacang tanah panggang, bau haruman herba serta rasa masam buah belimbing dan pisang mentah.”

“Saya amat menyukainya,” kata Thang, menambah kesemua kawannya bersetuju dengannya. Mereka berkata mereka tidak akan melupakan masakan istimewa ini.

Hai memberitahu tetamunya bahawa sajian itu lebih menyelerakan apabila menggunakan daun ara untuk memba-lut ikan dan segala ramuannya. “Ia akan memberikan awda rasa unik yang akan membuat awda teringin memakan lebih banyak lagi.”

Nong Van Bang dari Jabatan Pelancongan Bac Giang berkata tempat asal salad ikan kap di Perkampungan Desa Ly Vien di daerah Hiep Hoa sentiasa berada dalam senarai destinasi pelancongan wilayah itu.

Oleh yang demikian, salad ikan kap Bac Giang dan litchi Luc Ngan dipilih di antara 10 masakan dan buah terbaik yang diiktiraf oleh Masakan Vietnam Guinness pada tahun 2012. – ANN/Vietnam News