Terokai lokasi pelancongan menarik

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Bagi menggalakkan lagi aktiviti pelancongan antara Brunei dan Rusia, rombongan perkhidmatan pelancongan dari Rusia, Good Time Travel sedang berada di negara ini bagi menyaksikan secara lebih dekat beberapa lokasi tarikan yang ada sebelum membawa para pelancong dari negara itu ke Brunei.

Rombongan tersebut yang diketuai oleh pemilik Good Time Travel, Kornilova Nadezhda, berada di Brunei Darussalam selama empat hari hingga hari ini dan sepanjang berada di sini, mereka telah melawat Daerah Temburong bagi meneroka hutan hujan tropika menelusuri Sungai Temburong dan tempat-tempat menarik lain seperti Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja dan juga masjid-masjid di Brunei.

Daripada lawatan mereka tersebut, Kornilova Nadezhda ketika ditemui Media Permata di Empire Hotel & Country Club, hari ini, mengongsikan bahawa tempat tarikan di Brunei terutamanya hutan hujan tropika yang terkenal mampu menarik pelancong dari Rusia untuk mengunjunginya dan mereka merancang untuk menggabungkan pelancongan ke Brunei dengan Vietnam dalam satu pakej pelancongan oleh kerana Vietnam terkenal dengan pantai-pantainya.

“Kami menikmati penerokaan melalui sungai di Daerah Temburong, di mana kami dapat melihat air terjun dan pemandangan hutan hujan tropika dari puncak tertinggi Taman Negara Ulu Temburong,” kongsinya.

“Kami kagum dengan Brunei kerana ia menawarkan sesuatu yang berbeza berbanding dengan destinasi lain,” tambah beliau lagi.

Rombongan dari Rusia tersebut mengongsikan bahawa Oktober hingga April merupakan bulan yang sesuai bagi pelancong dari Rusia untuk melawat Brunei Darussalam kerana bulan-bulan tersebut bertepatan dengan hari-hari cuti di Rusia.

Gambar ramai rombongan Good Time Travel di Empire Hotel & Country Club, kelmarin.