Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Terokai peluang pertumbuhan ekonomi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan diseru untuk meneroka peluang-peluang bagi pertumbuhan melepasi sempadan Brunei.

    Sektor awam dan swasta harus terus bekerjasama untuk memperbaiki ekonomi negara dan menjana lebih banyak pekerjaan bagi generasi masa hadapan kita, saran Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa memberikan ulasan pada sesi perbincangan Visi dan Kepimpinan dalam Sempadan Baharu, Finale Forum SME360 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Finale Forum SME360 membawa tema, Sempadan Baharu, bertujuan untuk menggalakkan perbincangan rancak mengenai pelajaran terhebat yang dipelajari sepanjang Siri Forum SME360 serta juga strategi-strategi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempersiapkan diri mereka bagi persekitaran perniagaan baharu dalam dunia pasca pandemik. Sesi forum berkenaan juga dihasratkan untuk mengetengahkan peranan penting PMKS dalam melaksanakan amalan-amalan bertanggungjawab dan menggariskan visi kebangsaan bagi PKS.

    Semasa sesi penutup forum berkenaan, turut menyaksikan perbincangan peringkat tinggi mengenai faktor-faktor yang menjejaskan prospek perniagaan Brunei pada 2022 dan tahun-tahun seterusnya terutama dengan pembukaan semula sempadan, inflasi, gangguan rantaian bekalan dan kekurangan kakitangan di sebalik COVID-19.

    Sesi perbincangan berkenaan mengetengahkan barisan panel yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise, Daniel Leong; Ketua Pengurusan Hubungan Korporat, BIBD, Andy Lim; Profesor Adjunct School of Business & Economics Universiti Brunei Darussalam dan Pengasas Shazali & Partners, Shazali Sulaiman serta Presiden Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB), Fatin Ariffin. Para ahli panel telah membincangkan mengenai cabaran dan realiti dalam sempadan baharu dan meneroka visi masing-masing bagi komuniti PKS yang lebih makmur serta peranan yang dimainkan oleh PKS dalam sumbangan kepada ekonomi.

    Terdahulu di sebelah pagi, sesi pembukaan forum mengetengahkan refleksi dalam penyesuaian, inovasi dan daya tahan serta pelajaran terhebat yang dipelajari daripada siri SME360.

    Panel perbincangan mengetengahkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Ketua Structured Financing di Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Awang Abdul Azim bin Haji Mohammad; Pengarah Operasi dan Strategi Hoco Agency, Josh Lew; Pengasas Bersama Gong Cha dan Bake Culture, Nicky Wong dan Pemangku Pengarah Jabatan Pelancongan Brunei, Salina Salleh.

    Sesi sebelah pagi juga mengetengahkan sesi bertajuk, Why Responsibility Matters di mana ahli panel forum membincangkan peranan yang dimainkan perniagaan kepada penyelesaian alam sekitar dan kemapanan serta langkah yang harus diambil oleh operator perniagaan untuk mengamalkan kepimpinan mampan.

    Ahli panel bagi sesi itu terdiri daripada Ketua Pembangunan Perniagaan dan Digital Korporat BIBD, Haji Shamri bin Haji Mahali; pengasas Agrome IQ International, Dr Vanessa Teo; Pengurus Besar BUE dan Pengarah Urusan Asia Pacific Central, Curecrete Dustribution, Chris Yong; pemimpin belia dari MKM Brunei dan mentor untuk Girls for Girls Brunei, Natasha Halim serta pengasas EnEvo, Siti Norasyidah Haji Kariya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa hadir pada sesi terakhir bagi Finale Forum SME360 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.
    Dr Hajah May Fa’ezah menyampaikan pandangan semasa sesi petang Finale Forum SME360 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...