Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terokai taman ski dalaman terbesar di dunia

    HARBIN, China – Ia adalah petang musim panas di Harbin dan pelancong-pelancong kelihatan berada di jalanan dengan memakan aiskrim popsicle susu yang terkenal di bandar raya China itu. Namun suasana di dalam sebuah bangunan ini berbeza dan cuacanya sempurna untuk bermain ski.

    Di Taman Ais dan Salji terbaru di bandar ini, angin kencang meniup kepingan salji di sekitar pemain ski yang asyik bermain melalui lereng-lereng ski buatan manusia itu. Ia adalah taman ski tertutup terbesar di dunia, sebuah simbol keazamaan China untuk menjadikan negara itu sebagai kuasa sukan musim sejuk menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing.

    Dihidupkan pada suhu dibawah 5 darjah Celsius (41 Fahrenheit) dengan menggunakan kipas dan sistem penyejukan bawah tanah, kawasan kemudahan itu berkeluasan 80,000 meter persegi (861,000 kaki persegi), dan memanjang sehingga 500 meter (0.31 batu).

    “Bermain ski di sini sama seperti bermain ski di dalam peti sejuk yang besar,” kata Kane Li yang berusia sepuluh tahun sambil tersenyum di bawah kacamata neonnya, yang berharap dapat bersaing di dalam pertandingan itu.

    Seorang pelajar di akademi ski persendirian di ibu negara, Kane dan rakan-rakan olimpik muda berazam tingginya itu sebelum ini menghabiskan masa musim panas mereka di New Zealand, tetapi dengan pembukaan taman ski dalaman Dalian Wanda Group pada musim panas ini bermakna mereka hanya bermain di negara mereka sendiri sahaja.

    Suasana bangunan Wanda Harbin Ice and Snow Park di Harbin. – AFP
    Pengunjung menggunakan eskalator khas di Wanda Harbin Ice and Snow Park. – AFP
    Pengunjung membuat luncuran mereka di Wanda Harbin Ice and Snow Park. – AFP

    “Kumpulan Ski China masih tidak begitu hebat (berbanding dengan negara-negara lain),” kata Kane sambil menambah:

    “Kami mesti berlatih dengan gigih setiap hari. Berlatih dan terus berlatih lagi.” Tidak lama dahulu, ski dianggap sebagai aktiviti mewah di China. Ianya tidak dapat diakses oleh orang biasa.

    Negara ini mempunyai sekitar enam juta pemain ski setakat ini, dan Presiden Xi Jinping berharap jumlah itu akan meningkat sehingga 300 juta pada tahun-tahun mendatang.

    China mempunyai kejayaan besar dalam Sukan Olimpik Musim Panas, tetapi kejayaan Sukan Olimpik Musim Sejuk masih sedikit.

    Negara ini hanya memenangi enam pingat ski – semuanya dalam kategori gaya bebas – termasuk satu emas. Kini terdapat kira-kira 200 resort ski di China. Pegawai-pegawai China berazam untuk menambah bilangan itu kepada lima kali ganda menjelang tahun 2030.

    “Kami tidak mempunyai tempat untuk bermain ski ketika saya masih remaja,” kata Yi Li, pengurus awam taman dalaman Wanda.

    Pengunjung kelihatan gembira dan seronok berada di taman salji itu. – AFP
    Seorang lelaki membantu seorang kanak-kanak perempuan memakaikan kasut skinya. – AFP

    Penduduk asal Beijing mencuba sukan ini pertama kalinya pada 11 tahun yang lalu semasa bekerja di sebuah resort ski di wilayah utara Hebei, Zhangjiakou, yang akan menjadi tuan rumah kepada acara ski Alpine Olimpik.

    Dia cepat menyesuaikan sukan ini, dan menjadi tenaga pengajar, malah membuat latihan di Switzerland. Kini dia berkata bahawa China sudah bersedia untuk menjadikan sukan ski sebagai hobi kebangsaan.

    “Bermain ski sangat seronok dan bergaya,” kata Yi. “Dari pakaian ke peralatan, terdapat banyak kebebasan.”

    Dia teringat apabila dia mula-mula menemui sukan itu, kebanyakan masyarakat Cina tidak mahu mencubanya kerana peralatannya yang sangat mahal, dan mereka memerlukan sebuah kereta untuk sampai ke gunung.

    Tetapi selepas pembaharuan ekonomi negara itu, pendapatan penduduknya telah meningkat dan meluangkan lebih banyak masa mereka untuk bercuti, katanya. Mereka membeli kereta dan berhenti memikirkan sukan ski sebagai suatu yang ‘membahayakan’.

    Terdapat kira-kira 40 orang berada di cerun Taman Ais dan Salji itu baru-baru ini. Sebahagian daripada mereka kelihatan meluncur salji itu dengan mudah, sementara ada yang masih terhuyung-hayang dalam permainan ski mereka.

    Orang ramai beratur untuk mengembalikan peralatan ski mereka di Wanda Harbin Ice and Snow Park. – AFP
    Pengunjung kelihatan bermain ski di Wanda Harbin Ice and Snow Park di Harbin. – AFP
    Pengunjung kelihatan membersihkan papan luncur mereka. – AFP

    Papan luncur salji khas membantu peluncur ski yang terhuyung-hayang ini. Lerengnya dilengkapi dengan peralatan ‘chairlift’, kawasan luncur dan ‘bunny hill’, begitu juga sebuah pondok ski yang dihiasi dengan kayu tiruan.

    Harga untuk bermain ski sepanjang hari temasuk semua peralatan sewa ialah 488 yuan (AS$74). Pakej yang paling popular adalah bermain ski selama tiga jam iaitu 300 yuan (AS$45).

    Menurut Yi, 13 pasukan profesional dari seluruh negara juga telah datang ke taman itu untuk berlatih di pagi hari sejak ianya dibuka. Dan kemudian ada sekumpulan seperti Kane, yang berlatih bersama Akademi Ski Antarabangsa yang berpangkalan di Beijing dan berharap untuk menyertai Olimpik.

    Atlet muda itu merancang untuk menghabiskan hampir sebulan di Harbin, bermain ski selama empat jam sehari di taman ski tertutup itu.

    “Pada masa ini pihak kerajaan sangat menyokong permainan ski ini,” kata Zhao Quan, pengetua akademi ski. “Mereka bersungguh-sungguh mempromosikan perkembangan sukan ini di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.”

    Zhao menambah: “Juga, bagi golongan kanak-kanak, bermain ski ini adalah ‘sukan heroin’ – ia sangat ketagih.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda