Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terpaksa akur tunda majlis persandingan

    KUALA LUMPUR – “Perasaan gembira untuk berkahwin dah tak seperti dulu,” kata individu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizuddin.

    Aizuddin, 29, merupakan seorang pengantin yang akur untuk menunda majlis persandingannya, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac, bagi membendung wabak COVID-19.

    Walaupun berasa sedikit kecewa kerana segala persediaan telah dibuat lebih awal, beliau kekal positif dengan arahan kerajaan, demi keselamatan rakyat Malaysia sendiri.

    Menurutnya, dua majlis persandingan yang dijadualkan pada 21 Mac lalu bagi pihak pengantin perempuan dan 29 Mac mendatang di pihak pengantin lelaki, akan ditunda dalam tempoh beberapa bulan lagi.

    Beliau bagaimanapun berkata, majlis pernikahan tetap diteruskan pada 20 Mac bagi melaksanakan perkara yang wajib terlebih dahulu.

    Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularan COVID-19, hanya majlis pernikahan boleh diteruskan, namun majlis persandingan terpaksa ditunda. – Bernama
    Keadaan majlis perkahwinan yang terpaksa ditunda susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac, bagi membendung wabak COVID-19. – Agensi

    “Majlis pernikahan tetap diteruskan tetapi terpaksa dihadkan kepada ahli keluarga sahaja. Pembasmi kuman di tangan, juga disediakan ketika majlis berlangsung,” katanya kepada media selepas majlis pernikahannya.

    Seorang pekerja swasta Azmir Nor, 28, yang sepatutnya mengadakan majlis persandingannya pada 21 Mac lalu berkata, persiapaan sudah bermula dari tahun lepas lagi dengan hampir 100 peratus persiapan, telah dibuat.

    Beliau berkata walaupun majlis itu ditunda tanpa perlu membuat bayaran semula, beliau menanggung kerugian dalam hal lain yang melibatkan sewaan dewan, rumah inap, serta beg cenderahati yang mengandungi makanan.

    “Saya telah melangsungkan pernikahan pada awal Mac lalu, dan persandingan bagi pihak perempuan juga sudah dijalankan. Cuma untuk pihak lelaki majlis akan ditunda selepas Hari Raya Aidilfitri.

    “Walau apa pun yang terjadi, kawalan (Perintah Kawalan Pergerakan) ini adalah langkah yang terbaik oleh kerajaan, untuk mencegah virus COVID-19 ini daripada terus merebak,” katanya.

    Sementara itu, pembantu pengurus Wedding Galore Sdn Bhd Nor Zuliana Mohd Latif, 34, berkata pihaknya telah menerima 100 peratus permohonan untuk menunda majlis perkahwinan, yang dijadualkan berlangsung sepanjang tempoh kawalan tersebut.

    Walau bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu tidak menanggung banyak kerugian, memandangkan kesemua pelanggannya tidak meminta pembayaran balik, tetapi menunda ke suatu masa lain.

    “Kami faham akan masalah sekarang, sebarang majlis yang melibatkan skala besar tidak boleh dijalankan sepanjang tempoh kawalan ini.

    “Pelanggan pun tak minta pulangan wang, jadi mereka akan cari satu tarikh untuk tetapkan majlis mereka di kemudian hari,” katanya lagi.

    Pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas COVID-19, menggesa semua pihak untuk membatalkan majlis kenduri perkahwinan, kerana ia termasuk dalam Peraturan Kawalan Pergerakan. Namun, beliau berkata majlis pernikahan boleh diteruskan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda