Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Terpaksa bekerja, kahwin muda

    KUALA LUMPUR – Suasana di sebuah bilik di bangunan pejabat tiga tingkat di Selayang dekat sini riuh-rendah dengan suara sekumpulan remaja lelaki cuba menjawab soalan guru, sementara di bilik bersebelahan kumpulan pelajar lelaki dan perempuan tekun mempelajari Bahasa Inggeris.

    Hari itu hari pertama persekolahan bagi kebanyakan pelajar terbabit, justeru jumlah yang hadir adalah tinggi. Namun pada bulan-bulan mendatang keadaan mungkin berubah. Para guru di Pusat Pembelajaran Pelangi Kasih kendalian Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (HASS) itu menjangka sebahagian daripada pelajar terbabit akan meninggalkan alam persekolahan apabila tekanan hidup sebagai pelarian bertambah berat.

    Remaja lelaki mungkin menjadikan kerja sambilan yang mereka lakukan sebelum ini sebagai pekerjaan sepenuh masa, sementara sesetengah remaja perempuan pula mungkin akan dikahwinkan bagi membantu keluarga yang bukan sahaja miskin tetapi juga mempunyai ahli keluarga yang ramai.

    Bagaimanapun keadaan anak-anak pelarian terbabit sebenarnya semakin baik pada tahun-tahun kebelakangan ini. Jika sekarang adalah 2014, anak-anak terbabit mungkin berada di jalanan, mengemis.

    Naib Presiden HASS, Badariah Abdul Hamid mengakui akan perubahan yang berlaku, memberitahu Bernama atas sebab itulah pendidikan amat penting.

    Kanak-kanak Pelangi Kasih tekun belajar di pusat pembelajaran pelarian itu. – Bernama

    “Saya tengok ramai kanak-kanak di jalanan. Pada masa itu banyak yang minta sedekah di tepi jalan, dekat lampu isyarat, pendek kata di merata tempatlah,” katanya.

    Tambah beliau, ketika itu belum ada sekolah untuk pelarian di kawasan tersebut walaupun ramai pelarian yang mempunyai anak-anak tinggal di situ berikutan peluang pekerjaan di Pasar Borong Selayang dan Kuala Lumpur.

    Tersentuh melihat pengemis kanak-kanak di jalanan, beliau dan pasukannya menubuhkan pusat pembelajaran bagi anak pelarian Rohingya yang tidak berkerakyatan tersebut, bermula dengan tadika di sebuah rumah kedai.

    Sambutan diterima amat menggalakkan menyebabkan badan amal itu berpindah ke bangunan besar yang dapat memuatkan 100 pelajar pada 2015.

    Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), pada masa ini terdapat 131 pusat pendidikan sedemikian di Malaysia. Anak Rohingya mewakili 72 peratus daripada pelajar tersebut, iaitu paling ramai.

    Sekalipun mereka kini ada akses kepada pendidikan, aspek kewangan tidak berubah, menyebabkan ramai anak-anak terbabit mengorbankan pendidikan mereka lebih awal demi meringan-kan beban keluarga.

    Yang lelaki keluar bekerja

    Disebabkan tidak ada status rasmi di Malaysia, pelarian pada asasnya tidak boleh bekerja di negara ini, sama seperti pekerja asing yang tidak berdokumen. Bagaimanapun menurut Chan Ming Kai, bekas Pengerusi Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) Rangka Kerja Perundangan dan Advokasi Pelarian di Malaysia, kerajaan membenarkan me-reka bekerja dalam sektor tidak rasmi sebagai pekerja bergaji harian, seperti yang diperuntukkan dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23.

    Kerja-kerja berkenaan seperti memotong rumput, membersihkan longkang dan menjadi buruh di pasar basah, menawarkan gaji yang rendah.

    Ramai anak Rohingya mula bekerja apabila mencecah usia remaja bagi membantu keluarga kerana jenis pekerjaan yang dibenarkan untuk pelarian tidak banyak selain upah yang kecil. Itu juga yang berlaku kepada pelajar di Pelangi Kasih yang biasanya mula bekerja separuh masa atau melakukan kerja rencam seawal usia 13 tahun.

    Mariya Mohd Tahir, seorang guru di pusat pendidikan itu, memberitahu Bernama kelas pendidikan rendah – digelar kelas lanjutan – hanya diadakan pada setiap Isnin dan Selasa, bukan kerana tiada guru tetapi lebih disebabkan oleh masalah kehadiran pelajar.

    “Mereka cuma datang sekolah pada Isnin dan Selasa, hari-hari lain pergi kerja,” kata Mariya, menambah pada hari yang lain guru akan mengajar kelas prasekolah.

    Beliau dan guru lain juga bimbang kerja sambilan tersebut akan bertukar menjadi sepenuh masa tidak lama lagi.

    “(Kemiskinan) adalah kekangan utama kerana mereka perlu bekerja untuk meneruskan hidup. Gaji mereka pun tidak besar mana. Contohnya kerja potong cili, upah yang diperoleh cuma RM6, bekerja dari 6 petang hingga 12 tengah malam,” cerita Mariya.

    Selama ini beliau menyaksikan ramai pelajar berhenti sekolah pada usia 14 tahun dengan remaja lelaki bekerja manakala yang perempuan dikahwinkan, satu trend yang diakui oleh UNHCR. Hanya 14 peratus remaja berusia 14 hingga 17 tahun meneruskan pengajian peringkat menengah. Angka itu membabitkan mereka yang telah memohon ataupun telah diberikan status pelarian.

    Menurut UNHCR, kira-kira 28 peratus daripada 23,823 anak pelarian yang ada di Malaysia belajar di pusat pendidikan tersebut, membabitkan mereka yang telah memohon ataupun telah diberikan status pelarian.

    Seorang daripada kanak-kanak yang mendapat perhatian Mariya ialah Mohd Nur Adam, 13, yang disifatkan oleh aktivis itu sebagai “bijak serta sentiasa ingin tahu”, dan kini bekerja di sebuah kilang ais bagi membantu ibu dan tujuh adik-beradiknya.

    Abangnya yang berusia 14 tahun juga bekerja, sementara kakak, 15, menghabiskan kebanyakan masa menguruskan rumah dan mengasuh adik-adik yang masih kecil.

    Kesemuanya memegang kad UNHCR dan mendaftar di sekolah untuk pelarian itu pada 2019 selepas sukarelawan HASS menyelamatkan ibu mereka yang ketika itu sedang hamil empat bulan, serta keluarga mereka semasa menumpang teduh di sebuah bengkel tinggal di Sentul selepas kehilangan tempat tinggal. Ayah mereka ditangkap dan ditahan polis beberapa bulan sebelum itu.

    Adam memberitahu Bernama yang dia mahu ke sekolah namun terpaksa bekerja untuk membantu keluarga.

    “Saya nampak ibu penat bekerja untuk tampung hidup kami adik-beradik. Ibu bekerja di sebuah kilang bawang. Bagi membantu ibu, saya juga bekerja,” katanya yang fasih berbahasa Melayu .

    Sekalipun hanya dapat ke sekolah selama kira-kira setahun disebabkan penularan COVID-19 pada 2020 dan 2021, Adam cepat belajar.

    “Prestasi Adam agak bagus kerana dia suka bercakap, banyak bertanya. Kalau jumpa perkataan yang dia tak kenal (tidak tahu makna), dia tanya cikgu, ‘Cikgu, ini maksud apa?’ ” cerita Mariya.

    Menurut beliau lagi, si kakak, Aishah juga sangat berminat hendak belajar dan mahu ke sekolah seminggu penuh. Walaupun sudah berusia 15 tahun, kemampuan membaca dan menulis Aishah adalah pada tahap prasekolah.

    Seperti rakan sebayanya, Aishah juga mungkin akan dikahwinkan, namun Mariya berpandangan perkara itu berkemungkinan besar tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana ibu mereka memerlukannya untuk menjaga adik-adik yang masih kecil. Malangnya, ramai rakan sekelas Aishah yang bernasib sebaliknya.

    Yang perempuan berkahwin

    Menurut mereka yang bekerja dengan komuniti Rohingya termasuk pemimpin de facto mereka Rafik Shah Mohd Ismail, berkahwin pada usia muda adalah satu kebiasaan dalam budaya Rohingya. Si suami akan menanggung isteri dan anak-anak sementara si isteri menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga anak-anak di rumah.

    Kesukaran dari segi ekonomi dan ketiadaan peluang menyebabkan perkahwinan kanak-kanak menjadi strategi kelangsungan hidup bagi kebanyakan kanak-kanak perempuan dan wanita, bukan hanya dalam kalangan Rohingya. Menurut aktivis, ramai gadis remaja di-seludup masuk ke Malaysia dengan lelaki dewasa di sini membayar mas kahwin kepada keluarga gadis dan penyeludup. Sesetengah daripada remaja perempuan terbabit dikahwinkan selepas beberapa tahun tiba di Malaysia bersama-sama keluarga mereka.

    Pada tahun lepas, Mariya berkata tiga pelajarnya yang berusia antara 12 dan 15 tahun ketika itu, berhenti sekolah untuk berkahwin.

    Pengasas Yayasan Chow Kit Datuk Dr Hartini Zainuddin berkata jika sesebuah komuniti itu tidak mempunyai masa depan, lazimnya anak gadis yang menerima akibat kerana budak lelaki boleh bekerja.

    “Ini macam satu budaya dan sekarang semakin teruk disebabkan keterdesakan,” jelasnya.

    Walaupun tidak ada data tepat mengenai pengantin kanak-kanak di Malaysia, amalan itu cukup meluas hinggakan UNHCR mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendidik Rohingya serta pelarian lain agar membenarkan anak perempuan mereka ke sekolah dan tidak dikahwinkan hingga mencapai usia dewasa.

    Pakar hak asasi manusia bagi kumpulan Fortify Rights, John Quinley III membuat kajian tentang perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan etnik Rohingya di kem pelarian di Bangladesh pada 2018 dan 2019. Beliau memberitahu kajian mendapati kebanyakan keluarga menghantar anak gadis mereka berkahwin di Malaysia kerana tidak ada pilihan lain.

    “Keluarga Rohingya yang kami temui, iaitu yang hantar anak gadis mereka ke Malaysia, berkata antara faktor utama mereka berbuat demikian ialah sokongan kewangan yang akan dinikmati oleh anak mereka di Malaysia. Mereka juga berharap anak mereka akan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik di sana berbanding di kem pelarian di Bangladesh,” jelasnya.

    Pejuang hak pelarian berpangkalan di Bangkok itu menambah peluang mendapat pendidikan dan pekerjaan di kem terbabit amat terhad dan keadaan bertambah teruk sekarang.

    Ketidakpastian

    Bagaimanapun selagi tidak termaktub dalam undang-undang berhubung permasalahan buruh kanak-kanak dan perkahwinan bawah umur, masa depan remaja perempuan kekal diselubungi ketidakpastian.

    Aktivis berkata kerajaan perlu menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak, paling penting ialah memperluas akses kepada pendidikan dan mengurangkan kadar kemiskinan dengan membenarkan individu dewasa dalam sesebuah keluarga bekerja secara rasmi.

    Bernama turut menemu bual beberapa penggubal undang-undang yang bersetuju bahawa pendidikan untuk semua adalah penting, namun berpendapat tidak semua ahli masyarakat akan menyokong jika anak pelarian dibenarkan ke sekolah kerajaan.

    Pandangan itu turut diakui oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang pada 12 Januari lalu pantas memberi jaminan duit pembayar cukai atau peruntukan kerajaan tidak akan digunakan untuk membiayai pendidikan pelarian Rohingya. Sebaliknya kata beliau pendidikan mereka akan dibiayai oleh sebuah yayasan dari Qatar.

    Kementerian Pendidikan pula enggan mengulas.

    Walaupun pendidikan percuma di sekolah kerajaan untuk anak pelarian mungkin tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat, ada petunjuk bahawa ibu bapa mereka mungkin akan dibenarkan bekerja secara sah tidak lama lagi. Dr Hatini berkata walau apa juga yang berlaku, harapan tetap ada.

    “Akan ada jalan keluar kerana kesemua itu hanya dasar yang dibuat oleh manusia. Selagi ada kesungguhan politik, kita boleh mengubah apa sahaja,” tegasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...