Terpaksa matikan paus ‘nyawa-nyawa ikan’

MACQUARIE HARBOUR, AUSTRALIA, 24 SEPT – Para penyelamat Australia hari ini terpaksa melakukan operasi mematikan beberapa ikan paus yang terkandas di perairan barat Tasmania, selepas 380 mamalia itu mati.

Walaupun 88 paus pandu berjaya diselamatkan sejak kumpulan besar itu ditemui empat hari lalu, jumlah kematian dijangka terus meningkat kerana kebanyakan haiwan terbabit semakin lemah.

Pengurus Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania, Nic Deka, berkata beberapa paus yang dirasakan mampu bergerak masih ada harapan dan usaha menyelamat akan diteruskan esok.

“Tumpuan kami ialah ke atas paus yang boleh bergerak dan memiliki peluang cerah untuk hidup,” katanya.

Sepasukan 60 pakar pemuliharaan dan sukarelawan menghabiskan masa berhari-hari meredah air dingin Macquarie Harbour sambil diselubungi rintihan sayu paus yang terkandas.

Para penyelamat berusaha untuk menyelamatkan paus yang terkandas di beting pasir Macquarie Harbour pada 24 September. – AFP

Seorang penyelamat, Sam Thalmann, berkata suasana di pelabuhan itu amat menyedihkan.

“Ada paus lain yang masih boleh berenang dan tidak putus-putus bersuara, kita dapat rasakan hubungan akrab sesama haiwan ini,” katanya.

Paus spesies tersebut boleh membesar sehingga enam meter panjang dengan berat melebihi satu tan itu adalah haiwan yang gemar bersosial serta hidup berkumpulan.

Beberapa ekor paus enggan untuk diselamatkan atau cuba untuk kembali menyertai kumpulan yang terkandas, sekali gus menyukarkan usaha menyelamatkannya.

Pihak berkuasa berkata, tahap tekanan tinggi itu membuatkan mereka tiada pilihan selain mematikan haiwan yang terlalu lemah dan sekurang-kurangnya empat paus dimatikan setakat ini. – AFP