Terpaksa mendarat akibat ‘gangguan’

BEIJING, 15 April – Sebuah pesawat Air China terpaksa membuat pendaratan di tengah China atas sebab-sebab ‘keselamatan awam’ yang tidak didedahkan hari ini dan kesemua penumpang selamat keluar daripada pesawat itu, menurut syarikat penerbangan dan pihak berkuasa.

Penerbangan 1350 ke Beijing itu telah mendarat di bandar Zhengzhou pada 10 pagi disebabkan ‘satu gangguan yang tidak diingini,’ menurut lapangan terbang bandar Zhengzhou dalam akaun rasminya di microblog Weibo.com. Penerbangan itu berlepas pada jam 8:40 hari ini dari bandar Changsha di wilayah Hunan dan dijadualkan mendarat di Beijing pada 11 pagi. Laporan ringkas dalam Weibo, penyiar negara China Central Television menunjukkan satu imej yang menunjukkan polis paramilitari memakai pakaian seragam dan topi tempur berhimpun di luar sebuah hotel lapangan terbang Zhengzhou dan imej lain yang menunjukkan beberapa buah ambulans.

Lapangan terbang Zhengzhou mengambil langkah-langkah keselamatan dengan segera, menurut kenyataannya, dengan menambah para penumpang keluar daripada pesawat itu dalam keadaan stabil dan lapangan terbang beroperasi seperti biasa.

Tidak jelas sekiranya ‘gangguan’ itu merujuk kepada percubaan rampasan pesawat kerana pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang maklumat lain. Syarikat penerbangan berkata pasukan polis dan pihak berkuasa sedang mengendalikan perkara itu dan enggan untuk mengongsikan sebarang maklumat lanjut.

Sementara itu, Beijing News berkata dalam laman Weibo bahawa seorang penumpang menjelaskan dia terjaga akibat satu jeritan yang muncul dari bahagian depan pesawat dan ‘tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku.’

Xiaoxiang Morning Herald dengan memetik seorang penumpang sebagai berkata gangguan itu berlaku pada kabin kelas pertama atau perniagaan tetapi kain langsir yang memisahkan seksyen itu daripada kelas ekonomi ditarik dengan rapat.

Dia memandang keluar jendela dan melihat banyak kenderaan polis, ambulans dan jentera bomba diletakkan berdekatan pesawat ketika mendarat di Zhengzhou, menurut siaran akhbar itu dalam Wiebo. – AFP