Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    ‘Terpaksa minum air kolam’

    BANGKOK, 27 OKT – Seorang pakar bedah plastik Thailand hari ini menceritakan terpaksa meminum air kolam untuk hidup selama tiga minggu dalam tahanan di tangan penculik yang membawa senjata api di Mali.

    Nopparat Rattanawaraha, yang juga mengendalikan saluran YouTube popular menyiarkan klip perjalanan, kembali ke Thailand selepas dibebaskan dengan pembayaran wang tebusan yang dilaporkan sebanyak AS$150,000.

    Lelaki berusia 49 tahun itu kembali bekerja selepas sehari pulang ke tanah hari dan menceritakan detik dramatik dia diculik ketika memandu dari Burkina Faso ke Mali bersama seorang pemandu dan juru pandu pelancong.

    Selepas tertidur di dalam kereta, Nopparat berkata dia tersedar dan mendapati dirinya dikelilingi.

    “Seperti dalam drama. Lima atau enam lelaki membawa senjata mengelilingi saya tetapi saya tidak dapat memahami mereka,” katanya kepada stesen televisyen Channel 3.

    Nopparat Rattanawaraha menunjukkan begnya yang membantunya semasa diculik di Mali, pada sidang media di Bangkok, 27 Oktober. – AFP

    “Mereka menyuruh saya melutut, meletakkan tangan saya ke belakang dan menutup mata saya.”

    Penculik membawanya ke lokasi terpencil dan dia cuba bertenang dan bersikap mesra, katanya.

    “Mereka tidak agresif, mereka tidak mencederakan saya. Mereka bercakap dengan saya dengan baik,” katanya, walaupun makanan dan minuman adalah terhad.

    “Saya terpaksa makan apa sahaja yang ada. Jika tidak ada air, saya perlu minum dari kolam. Kadang-kadang saya terhidu bau minyak di dalamnya,” katanya.

    Kit kelangsungan hidup buatan sendiri turut membantunya untuk bertahan – dalam beg plastik yang mengandungi gelang lengan penghalau nyamuk dan penyedut herba popular di Thailand.

    Pada minggu ketiga dalam tahanan, dia dibenarkan menggunakan telefon untuk bercakap dengan ibu dan teman wanitanya, yang bercakap dengan penculik untuk meminta tuntutan wang tebusan mereka.

    Masih belum disahkan siapa yang membayar wang tebusan, tetapi polis Thailand dan pejabat asing membantu mengatur kepulangannya.

    Nopparat berkata walaupun dia tidak merasa trauma dengan pengalamannya, dia fikir dia memerlukan kaunseling profesional. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...