Terpalit kontroversi gara-gara komen ‘boleh hamil dari kolam renang’

JAKARTA, 27 FEB – Gara-gara amaran bahawa wanita boleh hamil dengan berenang dalam kolam di mana seorang lelaki ‘melepaskan sperma’ ke dalamnya, seorang pegawai Indonesia kemungkinan berdepan penggantungan kerja hari ini.

Siti Hikmawatty, seorang ahli suruhanjaya perlindungan kanak-kanak, mencetus kontroversi dan ejekan online selepas komen tidak saintifiknya semasa ditemu bual sebuah agensi media utama minggu lalu.

“Dalam sebuah kolam renang, terdapat sejenis sperma yang amat ampuh,” kata Hikmawatty memberitahu Tribunnews.com semasa satu video temu bual mengenai isu kehamilan remaja.

“Jika seseorang itu ghairah dan mengeluarkan air maninya (dalam kolam) satu kehamilan boleh terjadi meskipun tiada persetubuhan berlaku,” katanya.

Komen itu kecoh online, dengan segelintir lelaki berjanji membeli kondom sebelum menuju ke kolam renang, manakala gambar sperma berbentuk jerung mengejar seorang perenang wanita – satu gurauan menyamai poster filem Jaws – telah pun tular.

“Tidak semua lelaki ghairah apabila mereka berenang bersama wanita,” pempengaruh kesihatan Blog Dokter memberitahu 1.7 juta pengikut Twitternya, menyanggah komen Hikmawatty.

“Meskipun seorang lelaki naik ghairah dan melepaskan air maninya dalam kolam renang, sperma itu akan segera mati kerana air berklorin,” tambahnya.

Meskipun Hikmawatty segera menarik balik komennya, sebuah suruhanjaya tiga anggota sudah pun dibentuk untuk menentukan sama ada bekas profesor universiti itu akan digantung kerja. – AFP