Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terperangkap dalam tekanan kerja

    Akhir-akhir ini ramai yang memperkatakan tentang isu kesihatan mental.

    Sebagai pekerja muda yang baru mula berkerjaya, saya berusaha keras untuk membuktikan kemampuan diri.

    Setiap hari, saya bekerja lebih masa, mengambil tugas tambahan, dan sentiasa berusaha mencapai semua sasaran yang diberikan.

    Pada mulanya, semuanya terasa baik. Saya rasa bersemangat dan puas hati dengan apa yang saya capai.

    Namun, seiring waktu, saya mula merasa letih dan kehabisan tenaga.

    Hobi yang dulu saya gemari, kini saya tinggalkan. Saya juga jarang meluangkan masa untuk keluarga dan kawan-kawan.

    Gambar Pexels

    Saya mula merasakan diri semakin jauh daripada orang-orang yang saya sayangi, walaupun berada di tengah kesibukan kerja.

    Saya sedar, ini bukan cara hidup yang sihat dan saya mula terfikir ia berkaitan dengan kesihatan mental dan fizikal saya.

    Saya sering cemas, susah tidur dan semakin letih setiap hari. Saya tahu saya perlu mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

    Jadi, saya ingin tahu bagaimana awda semua menghadapi situasi seperti ini? Adakah awda pernah merasa terbeban dengan kerja hingga kehidupan peribadi terabai? Bagaimana awda mencari keseimbangan dan adakah ada langkah-langkah tertentu yang membantu awda?
    Saya berharap dapat mendengar pandangan dan nasihat awda. Mungkin kita boleh sama-sama belajar untuk mencari keseimbangan yang lebih baik dalam hidup ini.

    Nazrin

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Nazrin atas perkongsian awda. Situasi yang awda hadapi mungkin pernah dialami oleh ramai pekerja di luar sana. Tekanan kerja yang berlebihan sememangnya boleh mempengaruhi kesejahteraan keseluruhan dan kepentingan peribadi dan turut memberi kesan terhadap mental dan fizikal kita.

    Dang MP ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh dicuba.

    Pertama, tetapkan had waktu bekerja dan waktu peribadi yang jelas. Usahakan untuk tidak membawa kerja ke rumah dan patuhi waktu yang telah ditetapkan. Selain itu, penting untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental awda dengan senaman, pemakanan sihat dan tidur yang cukup.

    Kedua, jadualkan masa khusus untuk meluangkan waktu berkualiti dengan keluarga dan rakan-rakan. Walaupun dengan jadual yang sibuk, pastikan awda mengatur aktiviti sosial.

    Belajar untuk mengatakan ‘tidak’ kepada tugas tambahan jika awda merasa terlalu terbeban dan dahulukan tugas yang paling penting. Jangan ragu untuk meminta bantuan jika perlu.

    Mencipta rutin harian untuk rehat dan aktiviti atau hobi yang awda sukai juga boleh membantu awda merasa lebih teratur dan kurang stres. Jika perlu, berbincang dengan rakan sekerja, pengurus, atau kaunselor tentang tekanan yang awda hadapi. Mereka mungkin dapat memberikan sokongan atau penyelesaian yang berguna.

    Akhir sekali, jika awda merasa terlalu tertekan, pertimbangkan untuk mengambil cuti pendek untuk menyegarkan diri dan mendapatkan perspektif baharu. Menjaga kesejahteraan diri adalah penting dan semoga langkah-langkah ini membantu awda merasa lebih baik dan mengembalikan keseimbangan dalam hidup awda.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda