‘Terpulang kepada mereka’

WOLVERHAMPTON, 20 OGOS – Ole Gunnar Solskjaer enggan menyalahkan Paul Pogba selepas bintang Manchester United itu gagal menyudahkan sepakan penalti awal pagi tadi dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 di Wolves.

Pogba mensia-siakan peluang untuk memberikan United kemenangan kedua berturut-turut Liga Perdana apabila penaltinya diselamatkan oleh penjaga gol Wolves, Rui Patricio.

Ia merupakan penalti keempat yang gagal dijaringkan oleh Pogba sejak bermulanya musim lepas. Pemain tengah Perancis itu kelihatannya memberitahu Marcus Rashford bahawa dia mahu mengambil penalti itu, meskipun rakan sepasukannya itu sebelum ini telah berjaya menyudahkan sepakan ketika menentang Chelsea hujung minggu lepas. Pengurus United, Solskjaer berkata dia membenarkan kedua Pogba dan Rashford untuk mengambil sepakan penalti.

“Kedua-dua mereka memang dipilih untuk mengambil sepakan penalti dan ia terpulang kepada mereka untuk memilih siapa mengambilnya,” katanya.

“Kadangkala para pemain ada merasakan bahawa mereka mempunyai keyakinan untuk menjaringkannya. Paul sudah banyak menjaringkan penalti untuk kami dan hari ini Rui Patricio membuat penyelamatan baik.

“Mereka berdua sangat yakin. Saya suka pemain yang mempunyai keyakinan dan perasaan ‘Saya boleh melakukannya’.”

Bekas bintang United, Gary Neville menggesa Solskjaer menyelesaikan isu itu sebelum penalti pasukan seterusnya. – AFP

Reaksi Solskjaer ketika menyaksikan pasukannya menentang Wolves, yang berkesudahan seri 1-1. – AP