Terrapuri angkat martabat seni bina Melayu Terengganu

Oleh Kamaliza Kamaruddin

KUALA TERENGGANU – “Indah sungguh seni bina tradisional Melayu Terengganu.”

Begitu bisik hati penulis tatkala melangkah masuk ke pusat peranginan Terrapuri Heritage Village dan melihat deretan rumah lama yang dianggarkan berusia antara 100 hingga 250 tahun.

Hati semakin teruja apabila ketibaan di lobi pusat peranginan itu disambut dengan paluan ‘ketuk’ (sejenis alat muzik tradisional) sebagai ucapan selamat datang dan hidangan teh O ais campuran serai, halia, pandan serta herba lain untuk menghilangkan dahaga.

Pandangan penulis kemudiannya beralih kepada hiasan yang terdiri daripada semangkuk padi, beras kuning, kunyit dan hirisan pandan pula menambah aroma wangian asli, seolah-olah diri berada di zaman kegemila-ngan Melayu pada abad ke-17.

Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Terrapuri Heritage Village ini yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu (kira-kira 21 km dari bandar permaisuri) ini pasti beranggapan ia dibangunkan oleh usahawan Melayu atau agensi kerajaan.

Alex Lee Yun Ping, 50, ketika ditemu bual Bernama di Kampung Mangkuk baru-baru ini.- Bernama
Antara koleksi rumah tradisional Terengganu berusia antara 100 hingga 250 tahun milik Alex Lee Yun Ping. – Bernama
Terrapuri lahir daripada pengorbanannya sejak berusia 20 tahun, menanam impian untuk memiliki koleksi pelbagai jenis rumah Melayu terutama yang berkaitan dengan istana dan orang kenamaan yang hidup pada ratusan tahun lampau. – Bernama

Terrapuri (bahasa Sanskrit bermaksud Tanah Istana) sebenarnya adalah milik penuh usahawan berketurunan Cina Peranakan Terengganu, Alex Lee Yun Ping, 50. Terletak di kawasan seluas sekitar 4 hektar, ia mengandungi 29 buah rumah kayu dengan seni bina serta ukiran tradisional Melayu yang begitu unik sekali. Ada yang dijadikan villa eksklusif, villa beristirehat, spa, restoran berkonsepkan tradisional Melayu, rumah pantai dan galeri.

Cintakan seni Melayu

Kecintaan Lee terhadap warisan budaya Melayu ternyata sangat tinggi sehingga beliau sanggup ‘mengabdikan’ lebih 30 tahun daripada usianya untuk berjuang memartabatkan warisan itu. Usaha beliau itu terutamanya melibatkan pemuliharaan rumah peninggalan lama istana, golongan bangsawan dan kerabat Diraja Terengganu.

“Terrapuri ini lahir daripada pengorbanan saya sejak berusia 20 tahun. Sejak remaja lagi saya menanam impian untuk memiliki koleksi pelbagai jenis rumah Melayu terutama yang berkaitan dengan istana dan orang kenamaan yang hidup pada ratusan tahun lampau.

“Prosesnya tidak mudah. Saya mula menjelajah ke seluruh Terengganu untuk membeli rumah yang terbiar usang kerana dianggap tidak lagi berharga oleh waris mereka kerana pada tahun 1990an, senibina kediaman orang Melayu sudah mula dipengaruhi seni bina Inggeris, ” jelas Lee.

Menurut beliau kebanyakan rumah yang dibeli sudah rosak dan reput lebih 50 peratus. “Saya upah tukang kayu Melayu untuk leraikan kepingan-kepingan kayu ini dan simpan di sebuah rumah di Marang. Kalau tengok koleksi kayu ketika itu, sesiapa pun takkan tahu ia adalah struktur rumah di dalam istana zaman silam, sehinggalah saya berjaya membeli tanah kosong seluas kira-kira 4.05 hektar di Kampung Mangkuk pada 2005 dan mula membangunkan Terrapuri,” katanya kepada Bernama.

Menuntut pengorbanan

Proses membangunkan semula rumah usang itu juga tidak mudah. Alex menggunakan khidmat lebih 50 tukang kayu Melayu yang berkemahiran tinggi untuk menggantikan semula struktur dan binaan yang rosak.

Usaha itu juga memerlukan pelan terperinci mengenai kaedah pemasangan semula rumah lama itu memandangkan ia tidak menggunakan walaupun sebatang paku, sebaliknya dibina hanya dengan konsep tanggam dan pasak.

Kecintaan Alex terhadap warisan senibina rumah Melayu sangat terserlah apabila beliau mampu mengingati semua sejarah 29 unit rumah yang dibelinya yang kini diubah menjadi pusat peranginan Terrapuri.

Istilah seperti Baris Laksamana (pagar rumah), makara (tangga naga), kerawang, tasawuf, rumah tiang enam, rumah tiang 12, tajul muluk dan Surah Ashabul Kahfi tidak lekang dari bibirnya setiap kali menceritakan perihal Terrapuri.

Bapa kepada dua anak itu berkata Terrapuri adalah lambang kekayaan, kehalusan dan ketinggian seni bina orang Melayu di Terengganu yang harus dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

“Sebagai Cina Peranakan Terengganu, saya berasa bertanggungjawab untuk menyumbang sesuatu ke arah usaha murni itu. Semua harta yang saya ada sanggup saya jual untuk membangunkan Terrapuri termasuk sebuah kereta Mercedes dan beberapa lot tanah sehingga dikatakan gila oleh keluarga dan kenalan rapat.

“Saya tidak pedulikan semua tuduhan itu dan tidak berkecil hati dengan mereka kerana fokus saya adalah untuk memulihara rumah peninggalan warisan istana ini. Kalau nak imbas kepayahan dalam membangunkan Terrapuri ini memang dah tak sanggup untuk dikenang kembali.

“Saya tidak mendapat mana-mana pinjaman bank atau geran khas dari mana-mana agensi pun kerana ia adalah projek pemuliharaan, bukan bermotifkan keuntungan,” katanya yang membelanjakan lebih RM10 juta untuk membangunkan Terrapuri.

Keunikan tersendiri

Keindahan Terrapuri yang terletak berhampiran Pantai Penarik turut menjadi pilihan krew penerbitan untuk filem Merong Mahawangsa, Amazing Race, UK Master Chef, iklan Tourism Malaysia dan menjadi lokasi perkahwinan mewah untuk pengantin yang sangat mengutamakan keistimewaan dalam meraikan hari bersejarah mereka.

Alex yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu berkata beliau mengagumi seni bina tradisional Melayu kerana setiap struktur atau binaan itu mempunyai falsafah dan prinsip tersendiri yang tidak hanya disebabkan faktor pencahayaan, pengudaraan dan keindahannya semata-mata.

“Tidak hairanlah semasa dalam proses pembinaan pun, Terrapuri menerima lebih 5,000 pelawat kebanyakannya ahli penyelidik, pensyarah, pelajar dan peminat seni warisan lama yang mahu mengenali Terrapuri dengan lebih dekat.

“Saya berbangga kerana sehingga kini semakin banyak pihak berminat untuk membuat dokumentasi mengenai khazanah seni bina tradisional Melayu setelah berkunjung ke Terrapuri,” tambahnya.

Lee berkata setiap tahun, Terrapuri menerima kunjungan lebih 10 universiti dari seluruh dunia yang mahu membuat kajian mengenai warisan yang tiada tolok bandingnya itu.

Beliau berharap agar mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di Terengganu terus mengangkat martabat keindahan seni budaya negeri itu ke persada dunia.

Ditanya apakah antara faktor utama generasi muda terutama Orang Melayu tidak lagi berminat mempertahankan keindahan senibina nenek moyang mereka, Alex berkata ia terjadi kerana generasi muda tidak lagi memahami falsafah dan prinsip di sebalik setiap struktur binaan itu.

“Generasi sekarang mahukan sesuatu yang mudah dan moden. Perabot dalam rumah mahukan yang diimport dari luar negara contohnya dari Itali dan Sweden. Kenapa tidak mereka lakukan inovasi dan kreativiti terhadap warisan nenek moyang sendiri.

“Sebenarnya, masyarakat luar lebih menghargai warisan bangsa sendiri dan pengalaman saya, pengunjung luar terutama dari Eropah lebih menghargai Terrapuri. Namun masih belum terlambat untuk kita kembali memelihara tradisi warisan ini agar ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Kini, tumpuan Alex adalah untuk membangunkan satu lagi projek pemuliharaan rumah tradisi Melayu dari seluruh Malaysia yang dinamakan sebagai Terramalai di Batu Rakit dekat Kuala Nerus.

“Saya masih dalam proses mencari rumah tradisional lama di setiap negeri yang mempunyai nilai sejarah yang berharga untuk dikumpulkan sebagai satu lagi projek pemuliharaan untuk warisan kebanggaan negara, warisan kebanggaan kita semua,” katanya.