LONDON, 16 Mei – Ikon Chelsea John Terry (gambar) menjaringkan gol dalam perlawanan kedua terakhirnya untuk juara baru EPL dan memberi isyarat yang persaraan bakal menantinya selepas perlawanan terakhir Ahad ini, kecuali ada tawaran baik selepas itu.
Pemain berusia 36 tahun itu yang mengharungi tempoh 22 tahun bersama kelab dengan memenangi 15 trofi termasuk gelaran liga musim ini membuka jaringan dalam kemenangan 4-3 ke atas Watford di Stamford Bridge, iaitu gol ke-67 pertahanan itu dalam 716 penampilan bersama The Blues.
Terry yang tidak bermain dalam kesebelasan utama sejak 11 September tahun lalu, kemudian menjadi punca kepada lawan menjaringkan gol penyamaan hanya 60 saat selepas jaringannya.
Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Bournemouth manakala pengendali Swansea City, Paul Clement yang pernah bekerja dengan pertahanan England itu di Chelsea, turut menyatakan minat mendapatkan khidmatnya.
“Saya belum menukar pendirian yang perlawanan Ahad ini adalah yang terakhir sebelum bersara,” kata Terry yang membuat pengumuman persaraan itu pertengahan bulan lalu.
“Ia bergantung jika tawaran yang bagus muncul, saya akan berbincang dengan keluarga dan memikirkannya sama ada di sini, luar negara atau di mana saja. Secara jujurnya saya belum membuat keputusan dan masih memikirkan pilihan yang ada.”
Terry yang menjadi kapten Chelsea dalam 579 perlawanan, berkata dia tidak berniat untuk menghalang kemunculan bakat muda dengan terus beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.
Berkenaan kesilapannya membiarkan Etienne Capoue menyamakan kedudukan, Terry memberi nasihat kepada pemain-pemain muda yang menyaksikan perlawanan itu.
“Jika ragu-ragu, keluarkan (bola). Itu yang sepatutnya saya lakukan,” katanya. – AFP