LONDON, 17 Julai – Bekas kapten Chelsea, John Terry telah dinamakan sebagai kapten baru Aston Villa kelmarin selepas menyertai kelab liga kedua itu susulan pemergiannya dari Chelsea.
Terry, 36, menggantikan pemain pertahanan tengah dan antarabangsa Wales, James Chester sebagai kapten Villa setelah menandatangani kontrak selama setahun dengan kelab itu awal bulan ini.
“Aston Villa teruja untuk mengumumkan John Terry sebagai kapten. Terry akan mengetuai pasukan bagi kempen 2017/18,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka.
Terry memakai lilitan kapten buat pertama kali dalam perlawanan pra musim menentang pasukan divisyen ketiga, Shrewsbury Town semalam.
Bekas pemain pertahanan England itu meninggalkan Chelsea akhir musim lepas selepas 22 tahun di Stamford Bridge, di mana dia telah memenangi lima gelaran Liga Perdana, lima Piala FA dan Liga Juara-Juara pada 2012. – AFP