Tersalah tekan pedal, rempuh restoran

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Seorang pemandu warga emas yang tersilap tekan pedal minyak telah merempuh bahagian depan sebuah kedai makan di Gadong Central, semalam.

Kejadian berlaku sekitar 11:50 pagi, apabila seorang lelaki berbangsa Cina cuba memandu keluar dari tempat letak kereta di bangunan bertentangan dengan Chop Jing Chew.

Apabila bergerak keluar, pemandu dilaporkan dikejutkan oleh kedatangan sebuah kenderaan dan menekan pemecut, menyebabkan kereta memecut ke hadapan memasuki kedai kopi berkenaan.

Tiada orang yang berada di dalam premis itu mengalami kecederaan, tetapi gril depan, pintu kaca dan dua meja yang mempamerkan makanan mengalami kerosakan.

Pemandu berkenaan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Sleha (RIPAS) bagi sakit dada, di samping kecederaan kecil pada tangan dan kaki kanannya.

Bahagian depan kereta yang dipandu oleh pemandu warga emas itu termasuk ke dalam sebuah restoran di Gadong Central.