Terselamat gigitan ular tedung

NEW DELHI, 22 NOV – Seorang pekerja kebajikan British yang terselamat daripada koronavirus, denggi dan malaria sedang berpulih daripada gigitan ular di barat negeri India Rajasthan.

Ian Jones digigit oleh ular tedung di daerah pedalaman Jodhpur dan dimasukkan ke hospital di bandar Jodhpur, kira-kira 350 kilometer dari ibu negeri serantau Jaipur.

“Jones datang kepada kami minggu lalu selepas digigit ular di sebuah kampung di rantau. Pada mulanya dia disyaki juga positif COVID-19 untuk kali kedua tetapi dia diuji negatif,” beritahu doktor Abhishek Tater yang merawatnya di Hospital Medipulse, kepada AFP semalam.

“Semasa bersama kami, dia sedar dan mempunyai simptom gigitan ular termasuk penglihatan kabur dan kesukaran berjalan, namun ia merupakan gejala sementara,” tambah Tater.

Jones dibenarkan keluar dari hospital pada awal minggu. “Kami rasa tidak timbulnya kesan jangka panjang. Jika dia masih belum baik sepenuhnya, dia akan sembuh dalam beberapa hari akan datang,” tambah doktor itu.

“Ayah seorang pejuang, semasa di India, dia telah pun menderita malaria dan demam denggi sebelum COVID-19,” kata anak lelakinya Seb Jones, dalam satu kenyataan di laman GoFundMe yang ditubuhkan untuk membantu membayar bil perubatan dan perjalanan balik ke Isle of Wight di selatan England. – AFP