Terserah kepada FSJA pilih wakil media terima vaksin pertama

KUCHING, 26 FEB – Senarai 13 wakil media penerima vaksin COVID-19 di bawah fasa pertama program vaksinasi hari ini dikemukakan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Wartawan Sarawak (FSJA).

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata jabatan itu tidak membuat pemilihan sebaliknya hanya terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan program vaksinasi berkenaan.

“Kami berurusan dengan FSJA, namun mana-mana indivdu yang sepatutnya disenaraikan, terserah kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan dua menteri Kabinet yang lain menerima suntikan vaksin di Klinik Perubatan Petra Jaya di sini.

Dr Chin berkata, FSJA sepatutnya mengetahui siapa dalam kalangan lebih 500 wakil media di Sarawak yang sepatutnya diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin, terlebih dahulu.

Wakil media sebelum ini mempersoalkan FSJA yang memilih 13 nama untuk menerima vaksin dalam fasa pertama program berkenaan memandangkan petugas muda di pejabat itu diberikan keutamaan, sedangkan wartawan yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik, tidak dipertimbangkan.

Dr Chin berkata, kerajaan negeri bersetuju bahawa media tersenarai antara 97,161 individu barisan hadapan di Sarawak yang akan menerima vaksinasi di bawah fasa pertama program ini yang akan berlangsung hingga April 2021, sebelum memulakan fasa kedua dan ketiga program berkenaan. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima suntikan vaksinasi COVID-19 jenis PfizerBioNTech di Klinik Kesihatan Petra Jaya, kelmarin. – Bernama