Terserempak harimau jadian

UMURKU baharu sahaja mencecah 16 tahun. Disebabkan kenakalanku yang sering pulang lewat malam, memberikan pengajaran berharga buat diriku untuk tidak ingin pulang lewat lagi.

Aku, Hamdan dan Adi berkawan rapat. Kami sering bermain bola di padang bersama-sama. Maklumlah seingatku pada waktu itu Piala Dunia 1986 sedang hangat berlangsung, jadinya kami bermain di petang sehinggalah lewat Maghrib baharulah kami berhenti. Adakalanya kami berhenti sehingga dekat waktu Isyak. Tidak kurang dari itu, selesai sahaja kami bermain bukannya aku terus pulang ke rumah, malahan aku dan kawan-kawanku sering kali lepak berdekatan dengan padang bola tempat kami bermain.

“Hamdan, minta ku sigupmu ah,” Adi meminta kepada Hamdan.

“Nah, tinggal sebatang saja ni,” kata Hamdan sambil memberi rokok itu kepada Adi.

Aku hanya memerhatikan mereka berdua sahaja sedang asyik menghisap rokok. Asap rokok yang berterbangan membuatkan mataku pedih terkena asap rokok mereka berdua. Maklumlah aku bukannya seorang kaki hisap rokok. Jam sudah menunjukkan pukul 7:15 malam, kami masih lagi asyik berborak-borak sehingga tidak sedar akan kehadiran seseorang.

Ditegur Pakcik tua

“Oi wang, boleh ku minta tolong,” tiba-tiba ada seorang lelaki tua bertanya kepada kami.

Kami semua terkejut bagaikan sang petir menghentam langit. Tiba-tiba mata kami tertumpu kepada orang menyapa kami di samping seperti ada sesuatu yang dipikul di bahunya yang dibungkus dengan kain guni. Kakiku terasa berat hendak melarikan diri sedangkan Adi dan Hamdan hanya berdiam diri melihat lelaki tua itu sehingga rokok yang mereka hisap itu sudah sampai ke puntungnya.

“Boleh kamu bawakan aku di mana jalan ke Pantai Telisai,” tanya orang tua itu kepada kami bertiga.

Orang tua itu umurnya dalam lingkungan 70an tahun. Namun aku lihat dari segi tubuh fizikalnya orang tua itu masih kuat dan cergas. Orang tua itu aku rasa bukanlah orang yang berasal dari kampung ini, jika dia berasal dari kampung ini sememangnya dia sudah tahu di mana tempat menuju ke Pantai Telisai.

“Kenapa pakcik hendak ke Pantai Telisai waktu malam-malam begini,” aku memberanikan diri bertanya kepada orang tua itu.

“Pakcik nak melihat keadaan pantai, adakah airnya kuat berombak atau inda,” jawab orang tua itu.

Aku memandang ke arah muka Hamdan dan Adi, mereka memberikan isyarat tanda setuju untuk membawa Pakcik itu ke Pantai Telisai. Jarak di antara padang bola tempat kami lepak itu sangat jauh dengan Pantai Telisai. Kami bertiga berjalan tanpa berkata apa-apa sesama sendiri. Aku dan Hamdan berada di bahagian depan manakala Adi dan Pakcik itu berada di belakang serta dalam perjalanan hendak menuju ke Pantai Telisai.

Bau busuk yang kuat

Sebaik sahaja sampai berdekatan dengan pantai itu, aku seperti terhidu bau yang sangat busuk dan terasa badanku sungguh sejuk. Aku pandang ke arah Hamdan, dia kelihatan seolah-olah kesejukan tetapi aku tidak tahu adakah dia terhidu bau busuk seperti yang aku hidu juga.

Aku tidak berani bertanya kerana aku masih ingat cakap orang-orang tua itu jika kita terhidu sesuatu yang aneh khususnya di tempat yang sunyi lebih baik kita jangan menegur atau berkata apa-apa. Kami meneruskan perjalanan dan tiba-tiba terdengar bunyi ombak pantai begitu kuat. Kami sudah hampir sampai, aku menoleh ke belakang dan melihat ke arah muka Adi dan Pakcik itu.

“Pakcik inilah Pantai Telisai,” kata Adi kepada Pakcik tua itu.

“Terima kasih nak, sekarang kamu boleh balik tetapi kamu harus ingat, kamu tidak boleh balik kemari semula dan tidak boleh menoleh ke belakang,” kata Pakcik tua itu kepada kami.

Kami semua mengangguk kepala. Di dalam perjalanan balik, hatiku terasa tidak sedap dan aku cuba memberanikan diriku untuk bertanya kepada Hamdan.

“Hamdan, ada kau tercium bau busuk tadi,” tanyaku kepada Hamdan.

“Aku pun tercium bau busuk tadi, kuat lagi tu baunya macam bau atu ada di sebelah aku,” Hamdan membalasnya kembali.

Seperti sesuatu tidak kena

Kami semua berhenti dan melihat sesama sendiri. Aku merasakan sesuatu yang tidak kena, Hamdan meminta supaya kami semua berpatah balik ke pantai itu untuk melihat apa yang sedang dibuat oleh orang tua itu tadi. Pada mulanya aku tidak berani kerana kami sudah berjanji kepada orang tua itu. Tetapi Adi memaksa supaya berpatah balik ke pantai tersebut. Aku terpaksa akur dan mengikut sahaja kehendak Adi dan Hamdan.

Kami menuju ke pantai itu semula tetapi tidak mengikut jalan yang sama, kami menggunakan jalan semak supaya tidak dicam oleh orang tua itu akan kehadiran kami.

Sedang kami meniarap di semak itu, kami terdengar satu bunyi yang sungguh menyeramkan, seakan-akan bunyi harimau. Kami cuba memberanikan diri untuk tidak lari dan ingin mengetahui lagi apakah bunyi itu.

“Syhhhhh, jangan bergerak,” Hamdan cuba memberitahu kepada aku dan Adi.

Kami berhenti seketika di semak itu dan apabila kami cuba melihat di celah-celah semak itu kami terpandang orang tua yang baharu kami hantar tadi. Kami melihat orang tua itu sedang cuba membuka sesuatu di dalam guninya itu. Kami terkejut apabila melihat benda yang dikeluarkan oleh pakcik itu adalah bangkai kambing.

Jadinya bau busuk yang kami terhidu itu adalah dari guni yang dibawa oleh orang tua itu tadi. Tiba-tiba kami melihat orang tua itu mencakar badan kambing itu seolah-olah kukunya tajam seperti kuku harimau.

Bertukar menjadi seekor harimau

Kami semua bengang melihat kelakuan orang tua itu sambil ketakutan. Tiba-tiba orang tua itu berubah menjadi seekor harimau. Rupa-rupanya orang tua itu adalah harimau jadian. Kami bertiga begitu takut dan tiba-tiba Adi cuba hendak lari di celah-celah semak itu.

Kedengaran bunyi bising ketika Adi hendak lari. Tiba-tiba mata harimau jadian itu menoleh ke arah tempat bunyi bising itu.

Aku dan Hamdan mendiamkan diri sedang Adi juga tidak bergerak kerana takut diketahui oleh harimau jadian itu.

“Hamdan macam mana ni,” aku bertanya kepada Hamdan dalam ketakutan.

“Entah, begini sahaja, baik tah kitani lari secara diam-diam sahaja,” Hamdan cuba mengajar kami.

Aku dan Hamdan memberi isyarat kepada Adi supaya merangkak sahaja dan jangan berlari. Sebelum kami hendak merangkak balik, terlihat olehku dan Hamdan akan harimau jadian itu sudah bertukar menjadi wajah orang tua itu semula.

Hanya diketawakan

Mungkin kami rasa orang tua itu takut diketahui oleh orang lain bahawa dia adalah seekor harimau jadian. Kami terus merangkak balik. Setibanya kami di tempat yang jauh dari kawasan pantai itu, kami pun terus melarikan diri dengan langkah seribu.

Aku tiba di rumah dengan begitu ketakutan dan terus ke dalam bilik. Pada keesokan harinya aku memberitahu kepada orang tuaku tentang kejadian ngeri yang kami alami semalam. Orang tuaku hanya mentertawakan aku. Mereka tidak mempercayai apa yang telah aku lalui semalam.

Lalu aku, Hamdan dan Adi juga memberitahu kepada rakan-rakan kami yang lain. Mereka juga seolah-olah tidak mempercayai akan perisitiwa ngeri yang telah kami alami itu.

“Eh kamu, ada kamu nampak kambing bapaku kah? Hilang bah semalam,” tiba-tiba seorang dari kawan kami datang dan memberitahu tentang kehilangan kambing ayahnya.

Kami semua berpandangan antara satu sama lain dan sepantas kilat kami semua balik ke rumah masing-masing dan tidak bermain bola selama beberapa minggu.

Namun peristiwa ngeri menjadi tanda tanya kepada aku, Hamdan dan Adi. Ini kerana belum ada yang cuba mempercayai apa yang telah kami alami pada malam itu, di mana kami telah menyaksikan seorang pakcik tua bertukar menjadi seekor harimau dan memakan bangkai kambing tersebut.