Tersilap conteng lukisan AS$440,000

SEOUL, KOREA SELATAN, 9 APRIL – Sebuah syarikat pameran Korea Selatan berusaha memujuk seorang artis grafiti Amerika supaya jangan memulihkan lukisan berharga AS$440,000 selepas ia dirosakkan secara tidak sengaja oleh sepasang suami isteri yang menyangkanya seni penyertaan.

Artis, John Andrew Perello, juga dikenali sebagai JonOne, telah meluahkan hasrat untuk memulihkan lukisannya dalam cara yang tidak akan membebankan pasangan itu, yang tidak berdepan dakwaan jenayah, kata Jiyoon Son, pengurus dari Content Creators of Culture di Seoul, hari ini.

Sementara pameran mempunyai insurans untuk kerosakan, syarikat insurans pasti akan memperuntukkan sedikit kos kepada pasangan asalkan JonOne ingin lukisannya dipulihkan, menurut Son.

“Kami cuba memujuk artis itu supaya menimbang tidak memulihkan hasil seninya. Kami telah menunjukkan kepadanya reaksi dari media sosial, yang menyokong kerjanya tetapi juga bersimpati dengan pasangan itu,” kata Son.

Beliau berkata ia akan mengambil masa beberapa minggu dan 10 juta won untuk memulihkan lukisan itu, yang masih dipamerkan di sebuah gedung membeli-belah di Seoul.

Pasangan itu memberitahu syarikat Son mereka menyangka pelawat boleh mengambil bahagian dalam seni kerja JonOne, ‘Untitled’, lukisan dinding besar yang didirikan bersama tin cat dan berus bertaburan di sekelilingnya. Lukisan itu tidak mempunyai bingkai disebabkan saiznya yang besar.

Gambar kamera keselamatan menunjukkan pasangan itu menambah coretan berus kepada lukisan JonOne Ahad lalu.

Son berkata lukisan diconteng itu mungkin dipamerkan seperti dijadual sehingga 13 Jun. Saiz lukisan menjadikannya sukar untuk dipindah, yang mungkin bermakna mana-mana kerja pemulihan perlu dilakukan di tapak pameran, kata Son. – AP

Gambar fail menunjukkan lukisan John Andrew Perello selepas ia ditemui dengan coretan berus oleh sepasang suami isteri, warna hijau di tengah, di Seoul, Korea Selatan. – AP