SANTIAGO, 24 JAN – Satu gempa bumi dengan magnitud 7.1 yang melanda luar pantai Antartika semalam mencetuskan amaran tsunami tetapi menimbulkan kekecohan apabila mesej supaya menjauhi kawasan pantai sebaliknya dihantar kepada sejumlah besar penduduk Chile, beberapa daripadanya mengalami gegaran berasingan dan tidak kuat.
Gempa bumi Antartik melanda pada pukul 8:36 malam di laut timur pangkalan Eduardo Frei di Chile, kata Pusat Kecemasan Nasional (Onemi), mendorong agensi menggesa pemindahan dari ‘kawasan pantai Antartik’ sebelum berlakunya tsunami.
Satu gempa bumi magnitud 5.8 yang tidak berkaitan sementara itu melanda dekat Santiago pada 9:07 malam, yang dirasakan di tempat peranginan pantai tengah dan utara Pasifik, di mana pelancong sedang bercuti musim panas.
Bagaimanapun, disebabkan kesilapan teknikal, satu amaran untuk meninggalkan kawasan pantai telah tersilap dihantar kepada sebahagian besar daripada 18 juta penduduk negara itu dan bukannya kepada mereka yang tinggal di rantau Antartik.
Dalam masa beberapa minit, Onemi menjelaskan bahawa mesej telah tersilap hantar dan ia bertujuan ditujukan kepada penduduk Antartik, tetapi bukan sebelum mencetuskan panik di jalan raya Chile, dengan ratusan penduduk melarikan diri dengan menaiki kenderaan ke kawasan lebih tinggi disebabkan amaran tsunami tersebut.
Onemi berkata 80 orang dipindahkan di Antartik dari pangkalan Tentera Udara Frei di Chile yang termasuk sebuah kampung, hospital, sekolah, bank dan pejabat pos, susulan gempa bumi yang melanda kira-kira 210 kilometer dari timur pangkalan. Hampir dua jam kemudian, Onemi mengarahkan amaran tsunami Antartik dan pemindahan penduduk dibatalkan. – AFP





























