Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tertuduh akui kesalahan curi

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Seorang lelaki yang berdepan tuduhan mencuri kunci rumah, alat kawalan pagar dan wang $410, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

    Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bagaimanapun menetapkan esok untuk menjatuhkan hukuman terhadap Sani bin Sabli berusia 34 tahun.

    Fakta kes menyebut, tertuduh pada 21 Julai 2018 berjalan di sepanjang Jalan Kiarong, Kampung Kiulap apabila memutuskan untuk berhenti di depan sebuah rumah.

    Ketika itu, garaj sedang dalam pembinaan di kawasan rumah, yang mana pekerja Indonesia meletakkan keretanya tanpa berkunci di kawasan itu.

    Dia kemudian memasuki kawasan itu dan mengambil kunci rumah dan alat kawalan pagar yang ditemuinya dekat pasu bunga.

    Dia kemudian pergi ke sekitar dan belakang rumah tersebut.

    Sebelum keluar dari kawasan rumah, tertuduh mendekati kereta pekerja yang diletakkan di hadapan rumah.

    Dia terlihat dompet di dalamnya dan membuka pintu penumpang depan dan mengambil dompet itu.

    Pada sebelah tengah hari pada hari sama, pembantu rumah yang menyedari kunci rumah dan alat kawalan jauh tidak berada di tempatnya, terus memaklumkan kepada pemilik rumah.

    Pemilik rumah memeriksa rakaman CCTV tetapi tidak menemukan sesiapa namun pada 1 Ogos 2018, pemilik rumah sekali lagi memeriksa rakaman CCTV dan mendapati tertuduh berada di kawasan rumahnya.

    Tertuduh diberkas dan mengakui membuang kunci rumah dan alat kawalan pagar itu ke dalam sungai dan menjual dompet itu pada harga $2 manakala wang yang dicuri digunakan untuk perbelanjaannya.

    Kes tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Nur Eleana binti Dato Paduka Haji Hairol Arni.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda