Tertuduh miliki barang tak bercukai dibebaskan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Mahkamah Majistret di sini membebaskan Associates Sdn Bhd dan Jerome Jean Van Helden yang sebelum ini berdepan pertuduhan dengan sengaja memiliki barang-barang yang tidak bercukai di bawah Seksyen 146 (1) Perintah Eksais 2006.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid dalam penghakimannya pada 26 November 2019 memutuskan untuk membebaskan kedua-duanya daripada tuduhan selepas mendapati tidak ada elemen pertuduhan yang dibuktikan terhadap mereka.

Pada 4 Disember 2018, pegawai dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja menjalankan pemeriksaan di sebuah hotel di ibu negara dan menemukan 92 botol minuman keras dan 144 tin bir disimpan di lounge kelas perniagaan, tingkat enam hotel tersebut.

Lounge itu merupakan tempat peribadi yang hanya boleh diakses oleh tetamu yang menginap di bilik kelas perniagaan dan ahli persendirian.

Elemen pertuduhan yang dikemukakan pendakwaan adalah alkohol itu tidak dicukai, kedua-duanya memiliki minuman keras dan kedua-duanya mengetahui bahawa alkohol itu tidak dicukai.

Semasa perbicaraan, pihak pembelaan mengemukakan bukti bahawa alkohol yang ditemui oleh pihak kastam milik tetamu hotel warga asing yang mana Associates atau Van Helden mempercayai bahawa alkohol itu telah dicukai secara sah kepada pihak kastam apabila dibawa masuk ke negara ini.

Alkohol itu disimpan atas permintaan tetamu warga asing dan pihak hotel tidak dapat melupuskan alkohol itu kecuali dengan kebenaran pemiliknya.

Di bawah undang-undang Brunei Darussalam, penumpang yang membuat perjalanan ke negara ini diberi pengecualian daripada membayar duti eksais ke atas alkohol yang dibawa, yang hanya menghadkan dua botol minuman keras dan 12 tin bir. Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula menghujahkan bahawa pengecualian ini tertakluk kepada beberapa syarat seperti syarat untuk menyimpan alkohol itu di kediaman penumpang.

Majistret Dewi selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan memutuskan bahawa penyimpanan alkohol di hotel berkenaan tidak melanggar syarat-syarat pengecualian.