Tertuduh nafi lakukan kesalahan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Perbicaraan kes berhubung seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun yang menafikan dakwaan ugutan, kecuaian dan mengeluarkan kata-kata ancaman terhadap seorang pegawai kesihatan akan berjalan pada 14 hingga 24 Disember depan.

Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan tarikh perbicaraan berkenaan, hari ini, terhadap Awang Azlan bin Awang Damit yang dituduh melakukan tiga kesalahan di bawah Seksyen 506 bagi ugutan jenayah, Seksyen 269 kerana melakukan kecuaian yang berkemungkinan menyebarkan penyakit berjangkit yang membahayakan nyawa dan Seksyen 352 bagi serangan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali dalam pendakwaannya menyatakan bahawa bagi tuduhan pertama, defendan telah mengancam untuk mencederakan seorang pekerja penjagaan di sebuah kompleks rumah kebajikan pada 10 Februari 2020.

Bagi tuduhan kedua, defendan didakwa dengan cuai melakukan tindakan yang diketahui boleh menyebarkan jangkitan penyakit berbahaya kepada orang lain di sekitarnya pada 4 April 2020.

Tuduhan ketiga mendakwa defendan menyerang seorang kakitangan Kementerian Kesihatan dengan mengeluarkan kata-kata ancaman dan bersenjatakan pisau lipat pada 3 Mei 2020.