Tertuduh Ransomware dihadap ke mahkamah

PARIS, 19 OKT – Seorang warga Rusia, Alexander Vinnik, dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan melakukan penipuan bernilai 135 juta euro terhadap 200 mangsa di seluruh dunia melalui serangan Ransomware.

Pendakwa raya berkata, tertuduh menghantar e-mel kepada mangsanya dalam bentuk invois yang dimasukkan dalam lampiran dan apabila lampiran dibuka, malware yang diaktifkan akan menutup komputer dan mengenkripsi kandungannya.

Satu mesej akan muncul pada komputer yang digodam itu dengan arahan membayar wang tebusan melalui mata wang Bitcoin.

Antara 188 mangsa dalam serangan yang berlaku antara 2016 dan 2018 itu adalah dalam kalangan pihak berkuasa tempatan, ahli perniagaan dan individu di seluruh dunia.

Di Perancis, kebanyakan mangsa adalah ahli majlis perbandaran tempatan, firma undang-undang atau insurans dan perniagaan skala kecil termasuk sekolah memandu dan farmasi.

Gambar fail 4 Oktober 2017 menunjukkan Alexander Vinnik diiringi oleh pegawai polis ketika tiba di mahkamah Thessaloniki. – AFP

Bagaimanapun, Vinnik menafikan tuduhan melakukan pemerasan dan pengubahan wang haram.

Dia juga dikehendaki di Amerika Syarikat (AS) dan negara kelahirannya, Rusia.

Pendakwa raya juga mengenal pasti 20 perniagaan di enam bandar sekitar Perancis yang turut menjadi mangsa penipuan selain menjejaki wang hasil jenayahnya itu melalui pelbagai akaun bank.

Menerusi siasatan yang dijalankan, terdapat akaun bank milik Vinnik dengan jumlah wang sebanyak AS$8 juta.

Penyiasat AS turut mengesyaki lelaki berusia 41 tahun itu turut menjadi dalang utama bagi kegiatan jenayah siber dengan mengaut keuntungan secara haram.

AS mengenakan 21 pertuduhan terhadap Vinnik termasuk mencuri identiti, terbabit dalam pengedaran dadah dan pengubahan wang haram. – AFP