Tertuduh simpan harta curi ditahan reman

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Dua lelaki dan dua wanita yang berdepan pertuduhan curi dan secara tidak jujur menerima harta curi diperintahkan Mahkamah Majistret, kelmarin, untuk ditahan reman bagi membantu siasatan.

Perintah tahan reman dibuat Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid terhadap Atikah binti Mohd Junaidi, 29, Siti Isah binti Haji Mohd Yussof, 42 dan Haji Mohd Yusrahni bin Shaarani, 37, yang didakwa mencuri beg tangan mengandungi barang peribadi dan wang tunai.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan di kawasan jeti bot Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 18 Februari 2020.

Perintah tahanan reman juga dibuat terhadap Mohammad Junaidi bin Mokshin yang berdepan tuduhan secara tidak jujur menerima wang tunai yang dipercayai adalah harta curi.

Kesalahan untuk pertuduhan tersebut memperuntukkan tempoh penjara sehingga tiga tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kes akan disebut lagi pada 25 Februari 2020.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.