Tertuduh tidak mengaku salah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin, atas tiga pertuduhan membuat ugutan jenayah, melakukan sesuatu dengan cuai yang berkemungkinan boleh merebak jangkitan penyakit berbahaya dan melakukan serangan.

Tertuduh, Awang Azlan bin Awang Damit, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh didakwa membuat ugutan jenayah akan mencederakan pekerja di kompleks rumah kebajikan dalam kejadian pada 10 Februari 2020.

Dia juga berdepan tuduhan melakukan sesuatu dengan cuai yang berkemungkinan boleh merebak jangkitan penyakit berbahaya kepada orang di sekeliling, pada 4 April 2020.

Dia juga menghadapi tuduhan menyerang kakitangan Kementerian Kesihatan dengan membuat ugutan secara lisan dan bersenjatakan pisau saku dalam kejadian pada 3 Mei 2020.

Untuk pertuduhan pertama di bawah seksyen 506, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda; penjara sehingga lima tahun dan denda untuk tuduhan kedua di bawah seksyen 269 manakala tuduhan ketiga di bawah seksyen 352 memperuntukkan penjara sehingga satu tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Ketua Majistret membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $5,000 atau dua penjamin tempatan.

Kes akan disebut lagi pada 29 Jun 2020 untuk menetapkan tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.