Teruja berjumpa semula dengan keluarga

STONE MOUNTAIN, GA, 14 JUN – Nadia Williams menjerit kegirangan semasa beliau memeluk ibunya untuk kali pertama sejak bersetuju hampir tiga bulan lalu untuk tinggal di pusat penjagaan warga emas di mana beliau bekerja.

Park Springs yang terletak di luar Atlanta mengambil pendekatan luar biasa meminta 70 pekerja tinggal di tempat kampus untuk melindungi penghuninya daripada koronavirus. Ia membatalkan sekatan itu pada hujung minggu dan Williams dan pekerja lain pulang ke rumah untuk kali pertama sejak 30 Mac.

“Ia amat mengejutkan saya,” kata Williams, 30, mengenai berita berjumpa ibunya. “Saya tidak fikir saya akan berjumpa mereka untuk beberapa minggu lagi.”

Rumah penjagaan, antara tempat yang paling teruk terjejas oleh pandemik, telah mengehadkan pelawat dan memeriksa orang untuk virus tersebut. Pentadbir Park Springs berkata mereka bimbang strategi itu mungkin tidak mencukupi untuk menjamin keselamatan 500 penghuni mereka. Namun lockdown kakitangan bukan langkah yang dapat diterima oleh mereka untuk masa lama, kata Donna Moore, ketua pegawai operasi syarikat yang memiliki Park Springs.

Park Springs sedang beralih kepada ‘tanggungjawab peribadi dan langkah keselamatan,” kata Moore, termasuk mewajibkan kakitangan menjalani ujian koronavirus sebelum pulang esok.

Kepulangan ke rumah semalam merupakan pengalaman manis untuk kakitangan, yang berkumpul pada majlis makan tengah hari sebelum pulang untuk berkongsi pengalaman mereka. Syarikat memberikan setiap kakitangan plak yang diukir nama mereka dan rekod pengorbanan mereka.

Pekerja yang tinggal mewakili sebahagian daripada 300 kakitangan Park Springs. Seramai 30 yang lain bekerja dari rumah, tetapi majoriti telah dibuang kerja. – AP

Teisha Roberts (tengah), pengarah rumah penjagaan, disambut oleh keluarganya ketika beliau bersedia meninggalkan pusat jagaan warga emas Park Springs di Stone Mountain, Ga, semalam. – AP