Teruja kutip wang bertaburan di lebuh raya

LOS ANGELES, 21 NOV – Pengguna sebatang lebuh raya di California umpama mendapat ‘durian runtuh’, semalam, apabila sejumlah besar wang tunai yang dibawa sebuah trak berperisai dilaporkan terjatuh ke atas jalan berkenaan.

Insiden dikatakan berlaku apabila pintu trak itu terbuka ketika melalui lokasi terbabit, sekali gus mencetuskan keadaan huru-hara yang menyaksikan ramai pemandu kenderaan lain berhenti untuk mengutip wang kertas bertaburan itu.

Malah, rakaman video tular dalam media sosial turut menunjukkan ada yang melambung wang kertas yang dikutip itu ke udara dengan penuh teruja.

Namun, kegembiraan tidak disangka-sangka itu berkemungkinan tidak berpanjangan susulan polis memberi amaran akan mengesan mereka yang mengambilnya.

Malah, polis telah menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing yang didakwa turut mengambil kesempatan mengutip wang berkenaan.

Kedua-dua individu itu dikatakan gagal beredar dari lokasi apabila tidak dapat masuk semula ke dalam kereta mereka berikutan pintunya terkunci secara tidak sengaja, sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan meng-halang laluan di salah satu lorong lebuh raya terbabit.

“Ada banyak bukti daripada rakaman video yang menunjukkan orang mengambil wang bertaburan atas lebuh raya itu,” kata Sarjan Curtis Martin daripada pasukan Peronda Lebuh Raya California, pada sidang media.

Beliau menjelaskan, wang berjumlah ribuan dolar itu adalah milik sebuah bank, justeru mereka yang mengambil mesti mengembalikannya ke balai polis. – AFP