Teruja lihat bunga rafflesia

ALAMEDA, CALIFORNIA, 20 MEI – Penduduk di bandar kawasan Teluk San Francisco mengerumuni stesen minyak yang ditinggalkan untuk menghidu bau rafflesia, atau ‘bunga mayat’ – dinamakan demikian disebabkan bau reput yang keluar apabila ia berkembang – selepas pemiliknya memutuskan untuk berkongsi tumbuhan unik itu bersama jirannya.

Solomon Leyva, pemilik tapak semaian di Alameda yang menjual tanaman unik, telah menyiar di media sosial mengenai spesies amorphophallus titanium itu.

Apabila beliau melihat timbulnya minat mendalam terhadap bunga berkembang itu, beliau memutuskan membawanya ke bangunan yang ditinggalkan, di mana barisan orang awam menunggu untuk bergambar dengan bunga berkenaan, lapor San Francisco Chronicle.

“Saya pergi ke rumah hijau dan dengan bantuan seorang kawan, sempat membawa bunga itu ke bangunan kosong ini dan orang ramai mulai datang,” kata Leyva.

Leyva menganggarkan pada pukul 4 petang, sekurang-kurangnya 1,200 penduduk telah melihat bunga tersebut.

“Semua orang memberitahu saya kali terakhir mereka melihat bunga ini adalah di San Francisco, dan terdapatnya pengadang didirikan, dan mereka terpaksa menunggu berjam-jam lamanya dan tidak dibenarkan mendekati bunga itu,” kata Leyva.

“Saya rasa semua orang berasa teruja kerana mereka boleh mendekati bunga itu dan menghidunya.”

Himanshu dan Sayali Jain membawa anak lelaki mereka yang berusia 3 tahun selepas mengikuti perkembangan bunga tersebut di media sosial. – AP

Orang ramai berbaris untuk mengambil gambar bunga rafflesia di Alameda, California pada 17 Mei 2021. – AP