Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Teruja menang peraduan menulis karangan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Untuk melahirkan penulis-penulis muda khasnya dalam menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif yang berkualiti seterusnya mampu diangkat sebagai karya terbaik, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyediakan peluang secara berterusan untuk meningkatkan kemahiran penulisan dalam pelbagai platform, termasuk bengkel penulisan, peraduan, penerbitan buku, majalah dan jurnal.

    Dalam satu pertandingan yang dianjurkan DBP, iaitu Peraduan Penulisan Sastera Kreatif dan Bukan Kreatif DBP 2021/2022, media berpeluang menemui beberapa pemenang pada majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP kelmarin.

    Penerima penghormatan pertama untuk kategori B Peraduan Menulis Karangan Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2021/2022, Dayang Aleya anak Claxairi, pelajar Tahun 10 di Sekolah Menengah Chung Ching, Seria melahirkan perasaan gembira kerana tidak menyangka mendapat tempat pertama.

    Tajuk karangan ‘Di Mana Ada Kemahuan di Situ Ada Jalan’, ia adalah penyertaan kali kedua yang mana kali pertama beliau tidak memperoleh apa-apa hadiah.

    Katanya, “Walaupun kali pertama tidak berjaya tapi ia tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha dan akhirnya membawa kejayaan.”

    ATAS & BAWAH: Awang Nur Muhammad Danial Al-Haqq dan Dayang Aleya semasa ditemui media pada majlis tersebut.

    Beliau mengongsikan bahawa proses penghasilan karangan tersebut mengambil masa sehari dan karangan yang telah siap diberikan kepada guru untuk diperiksa. Kejayaan yang dicapai akan menjadi pendorong untuknya berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memantapkan lagi penulisan dalam bahasa Melayu selain persiapan sebelum menduduki peperiksaan Peringkat O pada tahun hadapan.

    Manakala penerima penghormatan pertama dalam Kategori C, Awang Nur Muhammad Danial Al-Haqq bin Haji Ar’fan dari Sekolah St George dengan tajuk karangan ‘Kepentingan Komputer kepada Guru dan Pelajar’ itu menjelaskan ia adalah kali pertama dia menyertai peraduan seumpamanya dan berasa bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh.

    Katanya, “Pemilihan tajuk karangan ini adalah dari kertas peperiksaan yang pernah dibuat dan dijadikan sebagai garis panduan untuk mengubah dan mengolah penggunaan ayat yang lebih baik.”

    Menurutnya, karangan berkenaan mengambil masa tiga hari untuk siap dan dirujuk lagi kepada guru untuk diperiksa.

    Beliau turut menjelaskan, peraduan ini merupakan satu platform yang baik untuk belia-belia meningkatkan dan bergiat aktif dalam bidang penulisan.

    “Dengan hadiah yang diperoleh, ia memberi semangat untuk meneruskan lagi penulisan dan mengembangkan lagi teknik penulisan di masa akan datang,” tambahnya.

    Peraduan Menulis Karangan Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2021/2022, telah menerima 80 buah karangan daripada 71 orang peserta bagi Kategori A; 55 buah karangan daripada 48 peserta bagi Kategori B; 55 buah karangan daripada 48 peserta bagi Kategori C; dan 10 buah karangan daripada 10 orang peserta bagi Kategori D.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...