Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Teruja merasa tuna berharga AS$145,000

    TOKYO – Pembeli tuna berharga AS$145,000 di pelelongan tradisional Tahun Baharu Tokyo berkata hari ini dia berharap pembelian itu akan ‘menceriakan’ tahun 2022 yang dilanda COVID-19.

    Harga tinggi yang dibayar untuk tuna pada pelelongan pertama tahun baharu di pasar ikan Toyosu, Tokyo merosot untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan permintaan terjejas akibat pandemik.

    Harga 16.88 juta yen yang dibayar bersama oleh operator restoran dan pemborong untuk ikan tuna sirip biru hari ini adalah jauh lebih rendah daripada 333.6 juta yen yang dibayar pada 2019.

    Pelelongan tuna pertama pada tahun ini di pasar Toyosu merupakan tradisi yang menarik puluhan pemborong ikan setiap tahun.

    Pembida ada kalanya mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan ikan berharga tersebut, yang dilihat membawa tuah serta publisiti untuk pembeli.

    Cef Akifumi Sakagami (tengah) memegang sebahagian daripada tuna yang dibeli bersama oleh Onodera Group dan pemborong Yamayuki dengan harga AS$145,290 pada pelelongan Tahun Baharu di pasar ikan Toyosu kelmarin. – AFP
    Wartawan melihat pada tuna yang dibeli bersama oleh pengendali restoran susyi Onodera Group dan pemborong Yamayuki, di sebuah restoran di Tokyo kelmarin. – AFP

    Harga tertinggi hari ini untuk 211 kilogram ikan itu ditangkap di luar rantau utara Aomori, Jepun, terkenal dengan tuna berkualitinya, dan dijual kepada pengendali restoran susyi bintang Michelin Onodera Group dan pemborong Jepun Yamayuki.

    Beberapa jam selepas pelelongan pada awal pagi ini, ikan berharga itu dihantar ke sebuah restoran yang dikendali oleh Onodera di kawasan mewah Tokyo Omotesando untuk dipotong dan dijadikan filet.

    “Saya mengambil bahagian dalam pelelongan dengan harapan mendapatkan tuna berharga itu, yang dianggap amat bertuah, dan menyajikannya kepada pelanggan kami untuk memeriahkan tahun mereka, walaupun ketika dunia kami masih dibelenggu pandemik,” beritahu ketua cef Akifumi Sakagami kepada AFP.

    Tuna itu akan ditawarkan kepada pelanggan di Jepun dan di restoran firma di luar negara, termasuk di Hawaii, New York dan Los Angeles, tambah beliau.

    Penggemar susyi berkumpul di luar restoran mewah Tokyo untuk menunggu tuna berkenaan, tidak sabar-sabar untuk merasa sedikit isinya.

    Junko Kawabata, 78, berkata dia telah menaiki kereta api laju dari rumahnya di timur Tokyo untuk merebut peluang merasa tangkapan berharga itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...