Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Teruja saksi lahar gunung berapi Iceland

    FAGRADALSFJALL, ICELAND, 4 OGOS – Pengunjung yang digamit rasa ingin tahu telah membuat perjalanan mereka hari ini ke tapak gunung berapi yang meletus dekat ibu kota Iceland, Reykjavik untuk menyaksikan lahar yang menggelegak, sehari selepas rekahan itu muncul di lembah yang tidak berpenghuni.

    Letusan itu berlaku sekitar 40 kilometer dari Reykjavik, dekat tapak gunung berapi Fagradalsfjall di barat daya Iceland yang memuntahkan magma selama enam bulan antara Mac dan September 2021.

    Walaupun letusan tahun lalu mudah diakses dengan berjalan kaki dan menarik lebih 435,000 pelancong, ledakan terkini itu lebih sukar untuk diakses, memerlukan pendakian berbukit yang sukar selama 90 minit dari tempat letak kereta terdekat.

    Namun, lebih 1,830 orang melawat tapak itu pada hari pertama letusan, menurut Lembaga Pelancong Iceland dan lebih ramai pengunjung dilihat mendaki lokasi tersebut awal hari ini.

    Antaranya ialah pelancong Amerika, Hather Hoff, 42, yang melihat lahar adalah ‘matlamat hidupnya’.

    “Saya terpaksa duduk dan menitiskan air mata kerana ia sangat cantik, begitu menyentuh perasaan – inilah kuasa mentah planet kita,” ujarnya kepada AFP.

    Anita Sauckel, seorang warga Jerman berusia 40 tahun yang tinggal di Iceland, melawat tapak letusan itu tahun lalu dan tidak dapat menahan dirinya untuk menyaksikan aktiviti gunung berapi terkini.

    “Sangat istimewa melihat lahar, pancutan besar muncul di tengah, dan saya sangat menyukainya,” katanya.

    Rekahan itu dianggarkan 360 meter panjang, kata Pejabat Meteorologi Iceland hari ini, dengan pancutan lahar kira-kira 10 hingga 15 meter tinggi. – AFP

    Orang ramai melawat lahar di gunung berapi Grindavik, Iceland pada 3 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...