Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Teruja sertai perbarisan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Antara pengisian Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada setiap tanggal 23 Februari ialah upacara perbarisan lalu di hadapan pentas diraja.

    Upacara tersebut didahului oleh pembawa bendera Negara Brunei Darussalam berukuran besar diikuti oleh pasukan pembaca ikrar, pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam berukuran sederhana dan bendera logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan berpakaian seragam (uniform), kumpulan warga emas, kumpulan orang kelainan upaya, sektor awam dan swasta, pergerakan awam, institusi-institusi pendidikan, kumpulan kayuhan basikal dan Pasukan Cemerlang.

    Sudah semestinya penglibatan dalam upacara perbarisan lalu menjadi detik bersejarah yang sukar untuk dilupakan bagi semua lapisan masyarakat dan peringkat umur yang menyertainya.

    Pemimpin Pengakap Sekolah Menengah Awang Semaun, Awang Muhammad Najib bin Haji Maidin semasa ditemui menjelaskan bahawa pada tahun ini seramai 18 orang ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) terlibat dalam upacara perbarisan lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini.

    “Memandangkan keramaian jumlah ahli yang dihadkan, hanya 18 orang ahli PPNBD yang menyertai perbarisan lalu kali ini yang terdiri dari sekolah-sekolah seperti dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri dan Sekolah Menengah Awang Semaun.

    Awang Muhammad Najib semasa ditemui pihak media.
    Awang Mohammad Eddy ketika menzahirkan perasaan syukur kerana terpilih menyertai upacara perbarisan lalu pada kali ini.
    Dayang Nurulhafizah semasa menyertai perbarisan lalu pada tahun ini.

    Sebenarnya lebih ramai ahli persekutuan berkenaan ingin menyertai upacara tersebut disebabkan semangat yang berkobar-kobar dalam kalangan ahli.

    “Kami berasa begitu bertuah dan bersyukur kerana terpilih menyertai upacara perbarisan lalu kali ini dan saya berharap agar dengan adanya semangat berpasukan semasa upacara ini dapat diterjemahkan dengan kesepaduan antara semua pasukan beruniform dan organisasi di negara ini bagi menjayakan dan mencapai Wawasan Brunei 2035.

    “Kita juga harus berasa bersyukur dengan kemakmuran yang dinikmati selama ini di negara ini dan mendoakan agar ia terus berkekalan,” tambah Muhammad Najib.

    Sementara itu, Awang Mohammad Eddy bin Haji Awang Matassan selaku ketua perbarisan mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah ketika ditemui mengongsikan bahawa seramai 36 orang ahli persatuan berkenaan terlibat dalam upacara perbarisan pada kali ini daripada kalangan pelajar di institut pengajian tinggi dan sekolah menengah di negara ini.

    “Saya berasa berbangga kerana terpilih pada tahun ini bagi menyertai upacara perbarisan lalu kerana ia adalah suatu yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun yang menyuntik semangat patriotik yang menjadi budaya kita yang tidak putus-putus diadakan.

    “Harapan saya agar belia-belia di negara ini lebih proaktif terutamanya dalam pasukan-pasukan beruniform agar dapat menjadi pelapis kepada generasi yang akan datang. Pada masa yang sama, golongan belia diharap dapat melibatkan diri secara sukarela memberikan sumbangan kepada negara,” tekannya.

    Manakala Pegawai Imigresen Kanan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran, Dayang Nurulhafizah binti BPKDP Haji Suhaili Alhafiz mengongsikan seramai 37 orang dari jabatan berkenaan menyertai perbarisan lalu.

    Beliau menzahirkan perasaan gembira dan berbesar hati kerana terpilih untuk mengikuti perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-39 tahun kerana pada tahun-tahun sebelumnya sambutan adalah terhad disebabkan COVID.

    “Apa yang saya rasakan pada tahun ini suasananya amat meriah dari tahun-tahun sebelumnya di mana orang ramai dapat turut meraikan dan turun meramaikan majlis.

    “Sebagai barisan hadapan yang menjaga pintu negara selama memerangi COVID, saya amat bangga kerana terpilih menjadi antara salah seorang yang mengikuti barisan lintas
    lalu dalam acara pada hari ini,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...