Teruja terima vaksin

Oleh Salawati Haji Yahya & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Perasaan teruja, gembira dan tidak kurang juga ketakutan dan gemuruh, dirasakan oleh para pelajar yang menerima vaksin COVID-19 pada hari pertama Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara.

Semasa tinjauan media di pusat vaksinasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan Universiti Brunei Darussalam, rata-rata pelajar yang ditemui melahirkan perasaan teruja menerima vaksin dos pertama.

Awang Muhd Haziq Irfan bin Ermanty, pelajar Tahun 7 di Sekolah Menengah Katok mengongsikan keterujaannya semasa mendapatkan dos pertama ini dan tidak ada perasaan gementar sebelum mendapatkan vaksin.

Pelajar berusia 13 tahun yang ditemani oleh ibunya, Dayang Rosnita binti Haji Abdul Razak, turut mengongsikan persediaan sebelum mendapatkan vaksin dengan mengikuti saranan pihak Kementerian Kesihatan untuk mengambil sarapan sebelum pergi untuk mendapatkan vaksinasi.

Pelajar tahun 7, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Awang Khairul Ikhwan Iman Umar, 13, turut melahirkan perasaan gembira dan pada masa yang sama terharu selepas mendapat dos pertama vaksin.

Awang Muhd Haziq Irfan menunjukkan buku vaksinasi selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19.
Dayang Nurul Bazilah Afiqah melahirkan rasa gembira setelah mendapatkan dos pertama vaksin, kelmarin.
Awang Ahmad Danial selepas mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 di Kuala Belait, kelmarin.

Menurutnya, sebelum mendapatkan vaksin di Stadium Tertutup, dia telah memastikan beberapa dokumen penting untuk dibawa bersama seperti kad pengenalan, kad BruHIMS, maklumat pelajar, borang vaksinasi dan air selain mengambil sarapan.

Semasa mendapatkan vaksinasi, dia ditemani oleh ayahnya dan sudah bersiap sedia di pusat vaksinasi sebelum pukul 8:30 pagi kerana semua penuntut dimestikan untuk berada di sana 30 minit lebih awal untuk urusan pendaftaran.

Dayang Nurul Bazilah Afiqah binti Ermanty, 17, pelajar Tahun 11 di Sekolah Menengah Katok pula melahirkan rasa gembira kerana telah mendapatkan dos pertama vaksin pada hari pertama program vaksinasi berkenaan dijalankan.

Dia juga berpuas hati dengan dos pertama kerana mendapat layanan yang baik daripada petugas barisan hadapan untuk membantu menghilangkan perasaan gementar.

“Saya amat takut apabila setiap kali mendapatkan suntikan dan setiap kali akan cuba ditenangkan oleh jururawat dan doktor,” ujarnya.

Sementara itu, di Daerah Belait, salah satu pusat vaksinasi yang menjalankan program tersebut adalah di Pusat Pembelajaran dan Pembangunan (LDC), Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait.

Salah seorang pelajar yang ditemui di pusat itu, Awang Ahmad Danial bin Abdullah melahirkan rasa terima kasih kerana dapat menerima dos pertamanya.

Pelajar Tahun 7 di Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) itu berkata, dia pada awalnya rasa gemuruh tetapi dengan sokongan ibunya dan pegawai-pegawai perubatan dan petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan, dia teruja untuk menerima dos kedua vaksin.

Sementara ibunya, Dayang Lenny Yusnida binti Mohd Yusof bimbang mengenai kemungkinan kesan sampingan seperti demam panas, dia tetap gembira kerana anaknya menerima vaksin tersebut, setelah dia sendiri telah melengkapkan dua dos vaksinasi.

“Paling penting adalah kami gembira dan divaksin untuk melindungi keluarga saya daripada COVID-19, dan dos pertama untuk anak saya ini adalah langkah pertama sementara menunggu dos keduanya,” katanya.