CANBERRA, 11 MEI – Lebih 90 peratus Terumbu Sawar Besar mengalami pemutihan selepas tinjauan dilakukan tahun ini, kejadian keempat dalam tempoh tujuh tahun di ekosistem terumbu karang terbesar di dunia, menurut saintis kerajaan Australia.
Pemutihan adalah disebabkan oleh pemanasan global, tetapi ini merupakan pemutihan pertama terumbu semasa perubahan cuaca La Nina, yang dikaitkan dengan penyejukan suhu Lautan Pasifik, menurut Pihak Berkuasa Terumbu Sawar Besar dalam laporan tahunan yang diterbitkan lewat kelmarin yang mendapati 91 peratus kawasan yang ditinjau terkesan.
Pemutihan pada 2016, 2017 dan 2020 merosakkan dua pertiga terumbu di terumbu karang terkenal di luar pesisir pantai timur Australia.
Terumbu memutih sebagai tindak balas tekanan daripada haba dan saintis berharap kebanyakan terumbu akan pulih daripada kejadian ketika ini, menurut David Wachenfeld, ketua saintis yang menguruskan ekosistem terumbu. “Petunjuk awal menunjukkan kemusnahan terumbu tidak terlalu tinggi,” kata Wachenfeld hari ini.
“Kami berharap akan dapat melihat terumbu yang mengalami pemutihan akan pulih,” tambahnya. – AP