Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Terus aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Mencecah usia lanjut bukanlah halangan untuk seseorang terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sama ada melibatkan diri dalam majlis-majlis perundingan kampung, persatuan mahupun badan-badan bukan kerajaan di negara ini.

    Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘B’, baru-baru ini telah meraikan 14 orang ahlinya yang telah mencapai usia 70 tahun tetapi masih bergiat aktif dalam biro berkenaan di salah sebuah hotel di Jerudong.

    Media Permata berkesempatan menemu bual beberapa ahli yang diraikan, jelas menunjukkan rasa gembira menerima penghargaan yang diberikan dan menganggapnya satu penghormatan.

    Dalam temu bual dengan Hajah Dayang Saadiah binti Haji Hassan, beliau melahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan kepada mereka atas penglibatan dalam Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’. Beliau turut mengongsikan faedah yang diperoleh dalam menyertai biro berkenaan di mana beliau dapat memperbaiki bacaan Al-Quran selain itu, juga dapat menimba ilmu agama dengan lebih baik lagi.

    Selain Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’, beliau juga merupakan Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali yang merupakan perkumpulan yang mula-mula sekali disertainya pada tahun 2006. Setelah itu, barulah beliau melibatkan diri dalam biro wanita, yang mana kedua-dua perkumpulan ini telah banyak membantu beliau mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

    Ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’ yang mencapai usia 70 tahun memotong pulut kuning bersama tetamu kehormat majlis.
    Hajah Dayang Saadiah menerima penghargaan daripada Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin.

    Manakala ketika menemu bual Hajah Taliah binti Abdullah yang juga merupakan salah seorang ahli biro yang telah mencapai usia 70 tahun, memilih menyertai biro ini setelah mendapat sokongan daripada kawan-kawan seperjuangan.

    Beliau yang merupakan bekas seorang pendidik mengongsikan pen-yertaan dalam persatuan ini juga disebabkan pengalaman beliau sebagai seorang guru yang perlu aktif dalam berpersatuan dan akhirnya membuatnya untuk menyertai biro wanita ini sehingga ke hari ini.

    “Melalui penyertaan dalam biro wanita ini, saya telah banyak menimba pengalaman selain menambah lagi ilmu keagamaan terutama dari segi bacaan Al-Quran dan berdikir,” katanya.

    Beliau seterusnya berharap, dengan penghargaan yang diberikan, Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’ akan terus berkembang dan bertambah ahlinya terutama golongan belia.

    Melalui penglibatan ahli-ahli yang diraikan dalam memajukan persatuan dan perkumpulan wanita itu setentunya menjadi pembakar semangat dan contoh kepada para belia, kerana usia bukan menjadi penghalang.

    Majlis penghargaan itu, sebelumnya pernah diadakan semasa sambutan 10 tahun penubuhan Biro Wanita MPK Sengkurong ‘B’ pada tahun 2020. Dengan adanya penghargaan seumpama ini, ia akan meningkatkan lagi motivasi kerjasama yang lebih baik secara berkumpulan dalam setiap projek atau program yang dirancang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...