Terus banggakan Negara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Para atlet senior yang telah berjaya diharap akan dapat menjadi pembimbing dan mentor kepada atlet-atlet muda dengan mengongsikan pengalaman dan kemahiran serta teknik-teknik dalam bidang kesukanan.

Manakala bagi atlet yang terlepas daripada memperolehi sebarang pingat semasa Sukan SEA ke-30 yang lalu di Filipina juga diharap dapat terus berusaha dan komited untuk di temasya Sukan SEA yang akan datang atau di acara sukan yang bertaraf antarabangsa. Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan dalam sembah alu-aluan Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal Bin Pengiran Haji Mahmud pada Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) petang tadi bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Atlet yang menerima ganjaran kemenangan yang tertinggi pada petang tadi ialah atlet sukan wushu iaitu Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan yang menerima $10,000 atas kejayaan beliau meraih satu pingat emas bagi acara Men’s Nandao dan Men’s NanGun. Manakala kategori jurulatih, dua orang jurulatih dari sukan wushu menerima ganjaran kemenangan yang tertinggi di majlis berkenaan ialah Zhao Chunjie dan Li Hui menerima sebanyak $3,600 setiap seorang.

Sementara itu, Kategori Persatuan Sukan Kebangsaan yang menerima ganjaran kemenangan tertinggi ialah Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam yang menerima sebanyak $34,700. Ketika ditemui pihak media, penerima ganjaran kemenangan tertinggi, Awang Mohammad Adi Salihin yang berusia 19 tahun menyampaikan rasa kesyukurannya apabila segala pencapaian dan usahanya diberikan penghargaan.

Awang Mohammad Adi Salihin menerima ganjaran kemenangan tertinggi SPSK.