Terus berjuang di Sukan SEA demi negara

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

Meski belum bernasib baik dalam mana-mana perlawanan saringan acara bola jaring dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 yang diadakan di Republik Filipina, baru-baru ini, pasukan bola jaring kebangsaan negara, The Royal Bees tetap terus bersemangat demi mengejar impian mereka untuk meraih pingat gangsa pada acara tersebut.

Menjelang beberapa hari sahaja lagi pembukaan Sukan SEA ke-30 tahun 2019 bakal berlangsung di republik berkenaan, pasukan tersebut telah meraih pelbagai pengalaman daripada aksi mereka semasa perlawanan pe-ringkat saringan, di mana ia sedikit sebanyak memberikan mereka ilmu dan teknik yang bersesuaian dalam menghadapi pelbagai pasukan hebat dari negara-negara yang menyertai acara itu.

Berkenan mengetuai The Royal Bees ke kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Terdahulu, sebelum keberangkatan ke Filipina, penulis berkesempatan menemu bual Yang Teramat Mulia di sini. Yang Teramat Mulia bersabda bahawa di bawah kepimpinan ketua jurulatih bola jaring kebangsaan negara, Jane Searle, mereka telah banyak mempamerkan peningkatan dari segi mutu permainan yang sedikit sebanyak dapat memantapkan lagi permainan skuad pasukan bola jaring negara bagi menghadapi saingan di Sukan SEA itu.

Selaku ketua pasukan bola jaring kebangsaan, Yang Teramat Mulia berharap pasukan bola jaring kebangsaan mampu menunjukkan permainan yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya dan seterusnya menyumbangkan kepada pungutan pingat negara pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina tersebut.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama Pasukan The Royal Bees dan Pasukan Netfit All Star pada perlawanan persahabatan yang lalu.
ATAS & BAWAH : YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan beraksi menentang pasukan Netfit All Stars baru-baru ini.

“Jane Searle banyak memberikan kami latihan berserta strategi-strategi dan pelbagai teknik untuk beraksi dalam gelanggang di samping membimbing seluruh pasukan cara mengaplikasikannya dalam beberapa perlawanan yang diadakan baru-baru ini di Singapura dan Melbourne,” antara sabda Yang Teramat Mulia ketika ditemui pihak media baru-baru ini.

Yang Teramat Mulia turut mengulas mengenai perlawanan pendedahan antara pasukan bola jaring kebangsaan hadapi dan pasukan-pasukan lain di luar negara ternyata banyak membantu pasukannya memperbaiki kelemahan daripada segenap aspek dan corak permainan mereka.

Seterusnya Yang Teramat Mulia juga mengharapkan sekurang-kurangnya boleh memperoleh pingat gangsa dalam persaingan hebat menentang pasukan-pasukan berpengalaman dan cukup hebat daripada negara-negara serantau lainnya.

Antara persiapan terakhir The Royal Bees sebelum berentap di temasya Sukan SEA sebelum ini ialah dengan menyertai Exhibition Match di antara The Royal Bees menentang Pasukan Netfit All Stars yang diundang khas dari Australia.

Sementara itu, Jane Searle ketika ditemui sebelum berangkat ke Filipina turut berkesudian mengongsikan bahawa pasukan kendaliannya telah menjalani latihan intensif bersama-sama bagi mempersiapkan diri dalam Sukan SEA dan antaranya ialah dengan mengadakan perlawanan bersama pemain-pemain Netfit All Stars yang cukup berpengalaman dan mempunyai pencapaian yang membanggakan di peringkat antarabangsa.

Di antara pemain yang turut didatangkan pada perlawanan berkenaan yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, baru-baru ini ialah Sarah Wall yang diundang khas dari Australia selaku pengasas Netfit serta Kimberlee Green dan salah seorang pemain elit bola jaring kebangsaan Australia, Sara Mylrea dan ramai lagi.

Jane Searle turut menyatakan antara masalah yang dihadapi pasukan kebangsaan bola jaring negara ialah penganjuran pertandingan bola jaring di negara ini kurang memberangsangkan.

Oleh itu pasukan bola jaring kebangsaan negara terpaksa mencari penyelesaian lain dengan mengadakan perlawanan dan menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di luar negara untuk mempersiapkan lagi pasukan kebangsaan negara menghadapi kejohanan Sukan SEA demi meraih kejayaan dan mengharumkan nama negara.