BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Pemangku Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menasihatkan para jurulatih yang melengkapkan Kursus Kejurulatihan Liga Belia Domestik FIFA selama lima hari agar terus bermotivasi dan berdisiplin.
Bercakap kepada para jurulatih dalam majlis penutup kursus berkenaan di NFABD House, Pengiran Mohd Amirrizal memberitahu para jurulatih bahawa mereka perlu bertanggungjawab bagi memperkembangkan lagi akar umbi bola sepak di negara ini.
“Jurulatih sama seperti guru di atas padang. Ia adalah penting untuk anda terus berdisiplin, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk pasukan dan para pemain anda,” katanya.
“Sijil ini tidak seharusnya menjadi penamat perjalanan. Terdapat banyak sijil lain yang boleh diperoleh jurulatih, dan saya harap anda akan menjadikan kejurulatihan sebagai kerjaya.
“Lakukan yang terbaik untuk memperkembangkan bola sepak, terutamanya tahap akar umbi kerana di sana anda boleh menemui bakat muda dan baru, yang akan mewakili negara suatu hari nanti.
“Bola sepak di Brunei berkembang dengan perlahan hari demi hari, dan NFABD, dengan bantuan FIFA dan AFC, akan terus mengadakan kursus-kursus agar Brunei boleh bersaing dengan baik di peringkat serantau dan antarabangsa.”
Antara topik yang diajar oleh instruktor kejurulatihan FIFA, Islam Akhmedov termasuk bagaimana menyusun formasi pertahanan, menyudahkan gol, bagaimana memberikan tekanan dalam bola sepak, menyerang dan bertahan, bermain dari penjaga gol, dan sebagainya. Juga terdapat beberapa sesi teori dan analisis Piala Dunia 2014, merancang musim, masalah-masalah bola sepak, psikologi, persiapan fizikal, analisis permainan, bagaimana menganalisis lawan dan akhir sekali formasi dan sistem.