Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Terus berusaha demi sebuah impian

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sebijak mana seseorang itu, tanpa cita-cita, ia umpama burung tanpa sayapnya. Ini kerana kejayaan seseorang itu bermula daripada cetusan impian yang bertapak dalam minda dan jiwanya.

    Tidak ada cita-cita yang terlalu besar untuk diraih, atau terlalu kecil untuk diperjuangkan. Asalkan berusaha untuk meraihnya, maka tidak ada yang tidak mungkin.

    Rebut peluang sebaiknya

    Berkat keazaman dan kegigihan demi menggapai cita-cita diimpikan, seramai 289 orang penuntut telah terpilih untuk meneruskan alam pembelajaran tingkatan enam bawah (L6) di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), sekitar penghujung bulan Februari lalu.

    Berkesempatan ditemui penulis semasa berlangsungnya Majlis Kemasukan dan Orientasi Pelajar L6 bagi Sesi 2023/2024 di Dewan Serbaguna, PTES, Awang Muhammad Haris bin Haji Sahari dan Awang Muhammad Zaki Harith bin Haji Mouhammad Alisahbrien selaku dua orang penuntut baharu, mengongsikan terpilihnya memasuki pusat tingkatan enam berkenaan bagaikan peluang keemasan yang tidak terhingga dan sebagai batu loncatan untuk melanjutkan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi, iaitu institusi pengajian tinggi nanti.

    Ujar Awang Muhammad Haris lanjut, subjek Syariah, Travel and Tourism, dan Perakaunan menjadi tiga mata pelajaran pilihan utamanya kerana beliau bercita-cita ingin menjadi seorang ahli perniagaan suatu hari nanti.

    Dayang Tutty Hyrneeita semasa ditemui penulis di ruang pejabatnya, baru-baru ini.
    Awang Muhammad Haris dan Awang Muhammad Zaki semasa ditemui penulis selepas sesi orientasi di Dewan Serba guna, PTES, baru-baru ini.
    Dayangku Nur Zhorifah (kanan) bersama rakan sekolah semasa sesi orientasi tersebut.

    Antara penuntut baharu tingkatan enam bawah semasa mengikuti sesi orientasi di Dewan Serbaguna, PTES, baru-baru ini. – Gambar serahan PTES

    “Inilah rezeki Illahi yang tidak akan kami sia-siakan kerana segala pengorbanan yang diberikan oleh pihak kerajaan di negara ini dalam memberikan pelbagai pendidikan kepada anak bangsa kita ini adalah satu hal yang patut disyukuri sebab sukar untuk kita menjumpai peluang sebegini di mana-mana,” katanya.

    Sementara itu, Awang Muhammad Zaki pula menambah keperluan yang disediakan amat mencukupi dari segi kemudahan pembelajaran di samping golongan tenaga pengajar yang berdedikasi dalam bidang masing-masing disertai lagi dengan persekitaran yang selesa.

    Beliau yang membuat pemilihan subjek utamanya iaitu Matematik, Fizik, Sains Komputer serta General Paper itu turut menjelaskan guru kerjaya di pusat berkenaan banyak membantu beliau dalam menentukan hala tujunya sejajar dengan cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera.

    Sesi orientasi tingkat keyakinan

    Menerusi sesi orientasi bagi para penuntut baharu yang diadakan selama tiga hari berkenaan, Awang Mohd Azeem Fahmi bin Haji Mohd Asmayuddin selaku Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PTES, menyatakan bahawa pelbagai kegiatan telah dilaksanakan dalam sesi tersebut, termasuklah suai kenal dan pendedahan tentang persekitaran baharu yang antaranya bertujuan bukan hanya bagi mengalu-alukan kemasukan pelajar baharu ke pusat berkenaan bahkan ia dihasratkan agar dapat menyatupadukan para pelajar baharu dari latar belakang persekolahan yang berbeza sebelum meneruskan pembelajaran secara formal.

    Selain itu, jelasnya, para penuntut baharu juga telah diberi pendedahan tentang persekitaran baharu terutama sekali waktu belajar di bawah Block System di mana ia mendidik para pelajar agar dapat mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar pada peringkat pra universiti secara lebih baik dan teratur.

    “Di mana pun keberadaan kita dalam mencari ilmu, tiga hal yang perlu dijadikan amalan kehidupan seharian adalah bijak dalam pengurusan masa antara pembelajaran dan keluarga; di samping sentiasa menyemai sikap saling hormat-menghormati serta jangan lupa untuk sentiasa memohon doa kepada Allah SWT dalam setiap tindakan yang kita lakukan,” ucapnya penuh ketulusan.

    Mengongsikan pengalaman menyertai sesi orientasi berkenaan, Dayangku Nur Zhorifah Syabrah binti Pengiran Haji Sallehan berkata sesi tersebut mampu meningkatkan self-esteem bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain di mana mereka merasa lebih yakin dan bersemangat semasa menjejaki alam persekitaran baharu tersebut.

    “Keyakinan saya untuk berbicara dengan orang yang baru saya kenali, itulah salah satu manfaat yang saya peroleh ketika mengikuti sesi orientasi ini,” luahnya dengan nada kesyukuran.

    Lahirnya anak didik ke menara gading

    Dalam pada itu, Pengetua PTES, Dayang Tutty Hyrneeita binti Haji Abd Latip semasa ditemui penulis antaranya mengongsikan imbasan pencapaian PTES di mana sejak tiga tahun kebelakangan ini, PTES telah melahirkan graduan-graduan yang layak meneruskan pembelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi.

    “Bagi kohort pelajar tahun 2019, seramai 80 orang pelajar telah berjaya meneruskan pengajian peringkat sarjana muda di Universiti Brunei Darussalam (UBD); 20 orang ke Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); dan enam orang pelajar pula memasuki Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB),” kata Dayang Tutty Hyrneeita.

    “Manakala bagi kohort pelajar tahun 2020, seramai 87 orang pelajar berjaya meneruskan pengajian ke UBD, 38 orang pelajar memasuki UTB dan 36 orang pelajar menerima tawaran pengajian di UNISSA. Begitulah dari setahun ke setahun, PTES berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang berpotensi, untuk terus maju ke peringkat universiti.

    “Pembelajaran pada ‘A’ Level ini, pastinya tidak semudah yang disangka dan yang dijangkakan. Semuanya bertitik tolak daripada usaha yang jitu, dan semangat ingin berjaya pada diri pelajar sendiri, selain bimbingan dan didikan daripada guru-guru di pusat ini. Oleh itu, rebutlah peluang ini sebaik mungkin dengan banyak meluangkan masa yang bertujuan untuk mengasah, kemahiran dan pengetahuan pelajar.

    “Saya selaku pengetua di pusat ini amat menyeru kepada ibu bapa dan penjaga, agar bekerjasama dan memastikan prestasi akademik anak-anak abiskita, adalah dalam tahap yang baik dan cemerlang, di samping mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di pusat ini.

    Selain memastikan anak-anak sentiasa hadir ke sekolah sepanjang sesi persekolahan dan mencapai 90 peratus kehadiran pada akhir tahun nanti. Ketidakhadiran para pelajar akan menyebabkan mereka ketinggalan dan sudah pasti merugikan pelajar sendiri,” tekannya penuh harapan tulus.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...