Terus hulur bakti demi kesejahteraan negara

Oleh Nurdiyanah R.

Bangkitnya mereka demi sebuah negara yang tercinta dan terus berdiri demi kemuliaan agama dan bangsa yang berdaulat.

Setiap detik, mereka terus berkorban masa dan tenaga tanpa jemu. Merekalah wira dan pejuang serta penegak agama, bangsa dan negara.

Begitulah kesungguhan jiwa ketenteraan yang telah bersemadi dan mengalir di darah mereka setelah mengha-rungi latihan selama 52 minggu di mana nilai-nilai teras ditanamkan dalam sanubari iaitu setia, takwa dan berani demi menuju satu matlamat utama agar tanah air di mana kita berpijak ini tetap kukuh, teguh dan kekal dalam keamanan dan kedamaian di bawah limpahan rahmat Allah SWT.

Seramai 73 orang pegawai kadet diraikan dalam Upacara Perbarisan Pentauliahan (Sovereign’s Parade) Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Pengambilan ke-18, hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat menyempurnakan upacara berkenaan di Padang Kawad Akademi Pertahanan ABDB di Kampung Tanah Jambu.

Perbarisan Berjalan Lalu dalam Masa Perlahan dan Cepat. – Gambar oleh Muiz Matdani
Penerima Anugerah Pedang Kehormatan, 53240 Pegawai Kadet (Udara) Wan Muhammad Hijazi menyatakan perasaan penuh kesyukuran kepada Allah SWT di atas kurniaan rezeki pencapaian yang diperolehi berkenaan, di samping ahli keluarga tersayang serta rakan-rakan seperjuangan merupakan tulang belakang beliau dalam meraih liku-liku kejayaan berkenaan. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Pegawai Kadet (Udara) Muhammad Ghazali selaku penerima Anugerah Terbaik Akademik bergambar ramai bersama kedua ibu bapa dan ahli keluarga semasa ditemui Media Permata.
– Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Penerima Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera, 53205 Pegawai Kadet Awangku Waffauddin menjelaskan bahawa kerjasama yang sangat erat bersama rakan-rakan seperjuangan itulah detik-detik terindah yang sukar dilupakan sehingga berjaya menamatkan kursus berkenaan dengan cemerlang. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Dalam kesempatan ini, wartawan Media Permata sempat menemui beberapa orang penerima anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik bagi Pengambilan Ke-18 dalam pelbagai bidang setelah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang kursus berkenaan.

Kesyukuran dipanjatkan

Penerima Anugerah Pedang Kehormatan, 53240 Pegawai Kadet (Udara) Wan Muhammad Hijazi bin Haji Yussof menyatakan perasaan penuh kesyukuran kepada Allah SWT di atas kurniaan rezeki pencapaian yang diperolehi berkenaan, di samping ahli keluarga tersayang serta rakan-rakan seperjuangan yang merupakan tulang belakang beliau dalam meraih liku-liku kejayaan berkenaan.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian dalam Aerospace Engineering dari University of the West of England, Bristol, United Kingdom turut menjelaskan bahawa segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi sepanjang menjalani kursus berkenaan bagaikan bekalan yang begitu berharga sebagai menempuhi bidang ketenteraan di masa akan datang meliputi hal ehwal latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

Pentingnya ilmu pengetahuan

Manakala 53242 Pegawai Kadet (Udara) Muhammad Ghazali bin Haji Suhaili selaku penerima Anugerah Terbaik Akademik turut merakamkan kesyukuran kepada Illahi dengan adanya sokongan yang teguh daripada kedua ibu bapa dan ahli keluarga serta para jurulatih serta kakitangan-kakitangan ABDB dalam sama-sama membantu mereka dalam pelbagai kemahiran yang mereka tempuhi sepanjang mengikuti kursus berkenaan seperti latihan ketenteraan, akademik, rohani dan jasmani serta fizikal.

“Dengan memegang prinsip didikan daripada ibu bapa saya yang menekankan bahawa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan sehari-hari itu sentiasa bersemadi dalam diri dan jiwa ini. Hal ini kerana pengetahuan itu memiliki kuasa yang berpotensi untuk diaplikasikan dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang ketenteraan ini,” tambah beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Geology dari Universiti Brunei Darussalam dengan penuh keyakinan.

Semai disiplin dalam diri

Sementara itu, penerima Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera, 53205 Pegawai Kadet Awangku Waffauddin bin Pengiran Ismail menjelaskan bahawa kerjasama yang sangat erat bersama rakan-rakan seperjuangan itulah detik-detik terindah yang sukar dilupakan sehingga berjaya menamatkan kursus berkenaan dengan cemerlang.

“Disiplin itu amat penting dalam setiap individu dalam meraih segala impian terutamanya dalam kewajipan kepada agama serta amanah yang dipikul,” tegas beliau yang dianugerahkan berdasarkan keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis.